Tuesday, 12 June 2012

Lets be prepared

Click to get a bigger image

"Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan."

Monday, 11 June 2012

Program Membaca Al-Quran & Khatam 66 kali sempena Ulangtahun KDYMM


Forum Anjuran UNISSA


Salam 'alaykum~ UNISSA akan mengadakan FORUM KEMBARA KEIMANAN, SERIBU PENGAJARAN sempena sambutan Isra' Mi'raj bagi 1433H. Ahli panel bagi forum ini adalah penceramah-penceramah handalan dari Brunei Darussalam dan panel jemputan dari negara jiran, ustaz Don Daniyal (30 Minit Ustaz Don). datanglah beramai-ramai kerana ianya DIBUKAKAN KEPADA ORANG RAMAI dan masuk adalah percuma.

Thursday, 7 June 2012

.:: Dajjal al-Masih ::.


Siapakah Dajjal?

Dajjal ialah seorang pemuda, berambut kerinting dan sebelah matanya tersembul. (buta sebelah). Dajjal itu dari bangsa Yahudi dan pengikutnya juga terdiri dari 70,000 bangsa Yahudi.

Di mana keluarnya Dajjal?

Dia akan muncul (dikenali) di antara Sham dan Iraq dan melakukan kemusnahan di serata tempat yang ia sampai.

Dakwaan Dajjal sebagai tuhan.

Dajjal akan mendakwa dialah tuhan dengan menunjukkan bukti-bukti seperti dihidupkan orang mati setelah dipotong dua badannya. Dajjal akan menjadikan kampung orang yang menerima dakwaannya sebagai tuhan menjadi mewah dan makmur. Dan kampung orang yang enggan menerima dakwaanya menjadi susah meleset. Namun orang yang kuat imannya akan berkata “kamulah Dajjal”.

Makanan Mukmin di zaman Dajjal

Pada masa itu orang mukmin yang enggan mengakui dakwaan Dajjal sebagai tuhan disekat bekalan makanan (tanah mereka terbiar, kering kontang dan tiada tumbuhan untuk dimakan). Namun mereka tetap kenyang dengan bertasbih iaitu berzikir dengan mengucapkan “Subhanallah“. Seperti dalam hadith Nabi s.a.w:

"Makanan orang Mukmin pada zaman Dajjal adalah makanan para malaikat, yakni memuliakan dan mensucikan Allah. Barangsiapa di zaman itu memuliakan dan mensucikan Allah, maka baginya, Allah akan menghilangkan kelaparan".

Berapa lama Dajjal bermaharajalela?

Dalam hadis diceritakan:

Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, berapa lama ia bermaharajalela di bumi?
Baginda s.a.w. menjawab “Empat puluh hari - Hari yang pertama: panjangnya seperti setahun. Hari yang kedua: panjangnya seperti sebulan. Hari yang ke tiga : panjangnya seperti seminggu, manakala hari-hari yang lain: seperti hari-hari kamu yang biasa”
Kami bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, bagi satu hari yang seperti satu tahun, adakah sembahyang sehari semalam memadai?”

Baginda s.a.w. bersabda, : “Tidak, tetapi kirakanlah masa untuk mengerjakan sembahyang itu mengikut kadar masa yang biasa kamu lakukan.”

Gelaran Al Masih

Semasa Dajjal bermaharajalela, Allah akan menghantar Nabi Isa Al-Masih turun di menara putih di timur Damsyik (Syria). Dajjal juga dikenali dengan Al Masih, yang bermaksud banyak berjalan, Dajjal banyak berjalan untuk menyesatkan manusia. Dajjal dan pengikutnya tidak boleh memasuki Mekah dan Madinah kerana kedua bandar suci ini dikawal oleh malaikat setiap kali mereka menuju ke sana, dipusingkan badan mereka ke arah lain.

Pada masa itu juga berlaku “zalzalah” (gempa bumi) sehingga ada penduduk Madinah yang tidak tahan lalu keluar dari situ. Akhirnya mereka menjadi mangsa Dajjal.
Seperti ditulis sebelum ini, Dajjal dibunuh oleh Nabi Isa yang akan turun selepas Imam Mahdi.

Ujian Allah SWT menerusi makhlukNya yang bernama Al Masih Ad-Dajjal adalah sebesar-besar ujian yang ditimpakanNya kepada ummat manusia yang beriman. Tidak ada ujian lain yang menyamainya apakan lagi melebihinya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW ada bersabda:

"Sejak Allah SWT menciptakan nabi Adam AS sampai ke hari kiamat nanti tidak ada satu ujianpun yang lebih dahsyat daripada Dajjal."

Sebelum kemunculan Dajjal, dunia Islam akan diuji dahulu oleh Allah SWT dengan kemarau panjang selama tiga tahun. Pada tahun pertama, hujan akan kurang sabanyak 1/3 daripada biasa, pada tahun kedua akan kurang 2/3 daripada biasa dan pada tahun ketiga hujan terus tidak turun. Umat ketika itu akan dilanda kebuluran dan kemarau. Di saat itulah Dajjal akan muncul membawa ujian. Dalam satu riwayat, penyokong Dajjal akan memiliki bergunung roti (makanan) sedangkan orang-orang yang tidak percaya dengannya berada dalam kelaparan dan kebuluran. Dalam hal ini, sahabat RA bertanya kepada Rasulullah SAW: "Jadi apa yang dimakan oleh orang Islam pada hari itu wahai Rasulullah?" Rasulullah SAW menjawab: "Mereka akan merasa kenyang dengan bertahlil, bertakbir, bertasbih dan bertahmid. Jadi zikir-zikir itu menggantikan makanan."

Dalam satu hadis riwayat Nuaim bin Hammad: "... Lalu Allah SWT mengerahkan kepada Dajjal syaitan-syaitan yang ada di timur dan ada di barat dan merekapun datang berbondong ke hadapan Dajjal dan menunjukkan kesediaan mereka untuk mengikuti apa jua perintahnya. Mereka berkata kepada Dajjal: "Gunakanlah kami untuk apa sahaja tujuanmu". Dajjal menyahut "Ya! aku akan berbuat demikian. Maka pergikanlah kamu pada kesekelian manusia dan usahakanlah supaya mereka meyakini bahawa aku adalah tuhan mereka. Khabarkah kepada mereka bahawa aku telah membawa untuk mereka syurgaku dan nerakaku."

Kemudian syaitan-syaitan itupun bertebaranlah di mukabumi dan masuk ke rumah-rumah orang dengan bilangan yang sangat banyak, lebih dari seratus syaitan untuk sebuah rumah. Syaitan-syaitan itupun menjelma dalam bentuk ayah tuan rumah itu, dalam bentuk anaknya, saudara-saudaranya, hamba-hambanya dan sahabat-sahabatnya. Mereka berkata kepada tuan rumah itu: "Wahai fulan, apakah kamu mengenali kami?" Tuan rumah itu menjawab: "Ya, saya kenal kamu semua. Ini ayahku, ini ibuku, ini saudara perempuanku, ini saudara lelakiku."

Tuan rumah itu berkata lagi: "Apa khabar kamu semua?" Mereka (syaitan-syaitan) menjawab: "Bahkan apa khabar engkau. Cuba ceritakan kepada kami keadaan engkau."

Tuan rumah itu pun berkata: "Sesungguhnya telah diberitakan kepada kami bahawa musuh Allah yang bernama Dajjal itu telah muncul (membuat kerosakan)." Mereka (syaitan-syaitan) menjawab: "Janganlah engkau terburu-buru berkata demikian. Janganlah engkau berkata demikian. Dajjal itu sebenarnya tuhanmu yang dapat membuat sesuatu keputusan terhadap nasibmu. Bersama dengannnya ada syurga dan neraka, ada sungai-sungai dan ada banyak makanan. Sesungguhnya tiada makanan kecuali yang datang dari sisinya, kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah".

Ketika itu tuan rumah tadi berkata: "Kamu semuanya pembohong. Kamu adalah syaitan-syaitan dan Dajjal itu adalah pembohong besar. Sebenarnya Rasulullah SAW telah memberitahu kami akan keadaan yang sebenar dan baginda SAW telah menyuruh kami berhati-hati dan baginda SAW telah menyuruh kami supaya menjaga anak-anak kami. Maka tiada kata aluan untuk kamu semua. Kamu adalah syaitan-syaitan. Dajjal itu musuh Allah SWT. Dan sebentar lagi Allah SWT akan menurunkan nabi Isa bin Maryam untuk membunuhnya."

Kalau tuan rumah itu berkata demikian akan surut dan diam lalu mereka (syaitan-syaitan) segera pulang dengan hampa tangan dan kehinaan."

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy RA, beliau berkata: "Rasululah SAW telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda SAW banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda SAW telah bersabda: "Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.

"Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya."

"Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAF FA RA (KAFIR), yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf."

Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah SWT dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk. "

"Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: "Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai tuhanmu?" Orang Arab itu akan berkata: "Tentu." Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: "Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu."

"Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: "Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: "Siapa Tuhanmu?" Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman menjawab: "Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah. Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga."

Sabda Rasulullah SAW lagi:

"Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi."

"Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi."

"Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah. "

Dari Jabir bin Abdullah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda:

"Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada 40 hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa." Ada yang bertanya: "Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?" Rasulullah SAW menjawab: "Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu." Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: "Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinKu. Apakah kamu bermaksud menahannya?" Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan. Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: "Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?" Mereka semua menjawab: "Ya, kami ingin." Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.

Rasulullah SAW telah mengajar kita supaya berlindung dengan Allah SWT daripada godaan Al Masih Ad-Dajjal ini. Seperti yang di ajar baginda SAW dalam doa tahiyyat akhir yang sunnat doa itu kita baca setiap kali kita sembahyang. Doa itu adalah: "Ya Allah, aku berlindung dengan Engkau daripada siksa api neraka Jahannam dan dari siksa kubur, dan dari fitnah dalam kehidupan dunia dan fitnah setelah mati, juga aku berlindung dangen Engkau daripada kejahatan fitnah Al Masih Dajjal."

Hadis riwayat Muslim Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesiapa yang HAFAL 10 ayat dari pertama surah Al-Kahfi, ia akan terpelihara dari godaan Dajjal." (Dalam riwayat lain HAFAL 10 ayat terakhir surah Al-Kahfi...Allah 'alam)

Sunday, 3 June 2012

Sayyidina Umar Al-Khattab VS Jin


"Zaman Sahabat dahulu ranking terhebat penggusti di Madinah jatuh kepada Rasulullah S.A.W, diikuti Khalid al Walid dan Saidina Umar. Mereka inilah panglima perang yang hebat bertempur di medan perang demi menegakkan Islam di muka bumi ini."

Suatu ketika dahulu di kota Madinah diadakan pertandingan gusti. Kita sedia maklum bahawa jaguh gusti ketika itu semestinya Rasulullah, Khalid al Walid, Saidina Umar, Amru al Ash. Tetapi kali ini hanya Saidina Umar sahaja yang ambil bahagian. Saidina Umar sepatutnya boleh menang dengan mudah tetapi lawannya kali ini sangat hebat. Bukan dalam kalangan sahabat, tetapi.....


Perlawanan bermula, seperti biasa Saidina Umar yang sememangnya handal bergusti sudah tentu menang perlawanan demi perlawanan dan masuk ke peringkat akhir. Almaklumlah, Khalid al Walid tak masuk. Jika tidak, meranalah Saidina Umar.


Tiba-tiba Saidina Umar melihat seorang penggusti tercampak jauh daripada gelanggang. Dia mula berasa hairan dengan kekuatan seorang pemuda ini. Dia mampu menewaskan musuh dengan mudah, sekali libas sahaja.

Sampailah giliran Saidina Umar melawan pemuda itu. Mereka bertemu di pusingan akhir. Saidina Umar menyerang, tetapi serangannya begitu senang dipatahkan. Saidina Umar hampir tercampak dek serangan musuhnya yang terlampau hebat.Dia hampir kalah.

Saidina Umar mula berikhtiar, mencari cara untuk mengalahkan lawannya. Saidina Umar tidak mahu kenangan pahit ketika kalah kepada Khalid al Walid sewaktu mereka kecil dahulu berulang.

Kemudian dia sedar akan sesuatu. Saidina Umar mula mengatur serangan. Dia melompat ke arah pemuda gagah itu. Setelah dua minit bergelut, pemuda gagah itu serta merta rebah. Saidina Umar berjaya mengalahkan pemuda itu.

Setelah upacara penyampaian hadiah berakhir, Pemuda itu datang kepada Saidina Umar. Pemuda itu berkata,

"Kau main tipu, mana adil.."

Saidina Umar tergelak kecil,

"Mana ada tipu, adilllah itu."

Pemuda itu berkata pula,

"Kau baca ayat Qursi, memanglah aku kalah."

Pemuda itu sebenarnya adalah jin. Jin yang menyamar jadi manusia. Kesimpulannya, jin ini lemah dengan ayat Qursi jadi amalkanlah ya untuk mengelakkan gangguan jin ini.
InsyaAllah..


Al Tabrani dan Abu Naim menjelaskan di dalam kitabnya al Dalail riwayat daripada Ibnu Mas'ud,


Seorang lelaki keluar kemudian bertemu dengan jin, tiba-tiba jin itu berkata,
"Apakah engkau boleh berlawan denganku? Kalau boleh mengalahkan aku, akan ku ajarkan satu ayat kalau dibawa ketika engkau masuk ke dalam rumah dan syaitan tidak akan masuk".Maka berlawanlah mereka berdua.Akhirnya jin itu dapat dikalahkan.Maka jin itu berkata,"Engkau baca ayat al-Kursi,kerana kalau dibaca syaitan akan keluar daripada rumah itu." Ditanya orang siapakah gerangan orang itu? Siapa lagi kalau bukan Saidina Umar al Khattab.

Sayyidina Umar - KETEGASAN MELAKSANAKAN HUKUM ALLAH


Khalifah Sayyidina Umar ibnu Khattab terkenal dengan ketegasannya dalam menjalankan hukum-hukum Allah. Dengan sebab ketegasannya itulah, orang merasa segan dan hormat kepadanya.
Sayyidina Umar mempunyai beberapa orang anak laki-laki, di antaranya ialah Abdul Rahman bin Umar. Ia juga terkenal dengan panggilan Abu Syahamah.
Suatu hari Abu Syahamah diuji oleh Allah dengan satu penyakit yang dideritainya selama kira-kira setahun. Berkat kesabaran dan usahanya akhirnya penyakit tersebut dapat disembuhkan. Sebagai mensyukuri dan tanda gembira terlepas dari ujian Allah ini, Abu Syahamah yang sudah lama tidak keluar rumah itu menghadiri majlis jamuan besar-besaran di sebuah rumah perkampungan Yahudi atas jemputan kawan-kawannya yang juga terdiri daripada kaum Yahudi. Abu Syahamah dan kawan-kawannya berpesta sehingga lupa kepada larangan Allah dengan meminum arak sehingga mabuk.
Dalam keadaan mabuk itu, Abu Syahamah pulang melintasi pagar kaum Bani Najjar. Dia ternampak seorang perempuan Bani Najjar sedang berbaring, lalu mendekatinya dengan maksud untuk memperkosa. Apabila perempuan itu mengetahuinya dia berusaha untuk melarikan diri sehingga berjaya mencakar muka dan mengoyakkan baju Abu Syahamah. Malangnya dia tidak berdaya dan berupaya menahan Abu Syahamah yang sudah dikuasai oleh syaitan. Akhirnya terjadilah perkosaan.
Akibat perkosaan tersebut perempuan itu hamil. Setelah sampai masanya anak yang dikandung oleh perempuan itu pun lahir, lalu dibawa ke Masjid Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam untuk mengadap Amirul Mukminin bagi mengadukan hal kejadian yang menimpa dirinya. Kebetulan yang menjawat jawatan khalifah pada waktu itu ialah Sayyidina Umar ibnu Khattab.
“Wahai Amirul Mukminin, ambillah anak ini kerana engkaulah yang lebih bertanggungjawab untuk memeliharanya daripada aku.”
Mendengar kenyataan tersebut, Sayyidina Umar merasa terkejut dan hairan. Perempuan itu berkata lagi: “Anak damit ini adalah keturunan darah daging anak tuan yang bernama Abu Syahamah.”
Sayyidina Umar bertanya: “Dengan jalan halal atau haram?”
Perempuan itu dengan berani menjawab: “Ya Amirul Mukminin, Demi Allah yang nyawaku di tanganNya, daripada pihak aku anak ini halal dan daripada pihak Abu Syahamah, anak ini haram.”
Sayyidina Umar semakin kebingungan dan tidak faham maksud perempuan Bani Najjar ini lalu menyuruh perempuan ini berterus terang.
Perempuan itu pun menceritakan kepada Sayyidina Umar peristiwa yang menimpa dirinya sehingga melahirkan anak itu.
Sayyidina Umar mendengar pengakuan perempuan itu sehingga menitiskan air mata.
Kemudian Sayyidina Umar menegaskan: “Wahai perempuan jariyah (jariyah adalah panggilan budak perempuan bagi orang Arab), ceritakanlah perkara yang sebenarnya supaya aku dapat menghukum perkara kamu ini dengan sebenar-benarnya dan seadil-adilnya.”
Perempuan itu menjawab: “Ya Amirul Mukminin, penjelasan apa yang tuan kehendaki daripadaku? Demi Allah!, Sesungguhnya aku tidak berdusta dan aku sanggup bersumpah di hadapan mushaf al-Qur’an.”
Lalu Sayyidina Umar mengambil mushaf al-Qur’an dan perempuan itu pun bersumpah bermula dari surah al-Baqarah hingga surah Yassiin. Kemudian bertegas lagi: “Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya anak ini adalah dari darah daging anakmu Abu Syahamah.”
Kemudian Sayyidina Umar berkata: “Wahai jariyah! Demi Allah engkau telah berkata benar.” Kemudian beliau berpaling kepada para sahabat, katanya “Wahai sekalian sahabat Rasulullah, aku berharap kamu semua tetap di sini sehingga aku kembali.”
Tak lama kemudian Sayyidina Umar datang lagi sambil membawa wang dan kain untuk diberikan kepada perempuan malang itu: “Wahai jariyah, ambillah wang sebanyak tiga puluh dinar dan sepuluh helai kain ini dan halalkanlah perbuatan anakku terhadapmu di dunia ini dan jika masih ada lagi bakinya, maka ambillah sewaktu berhadapan dengan Allah nanti.” Perempuan itu pun mengambil wang dan kain yang diberikan oleh Sayyidina Umar lalu pulang ke rumah bersama-sama dengan anaknya.
Setelah perempuan itu pulang Sayyidina Umar berkata kepada sahabat-sahabatnya: “Wahai sekalian sahabat Rasulullah, tetaplah kamu di sini sehingga aku kembali.”
Sayyidina Umar terus pergi menemui anaknya Abu Syahamah yang ketika itu sedang menghadapi hidangan makanan. Setelah mengucap salam dia pun berkata: “Wahai anakku, hampirilah padaku dan marilah kita makan sama-sama. Tidakku sangka inilah hari terakhir bekalanmu untuk kehidupan dunia.”
Mendengar perkataan ayahnya itu, Abu Syahamah terkejut seraya berkata, “Wahai ayahku, siapakah yang memberitahu bahawa inilah hari terakhir bekalanku untuk kehidupan dunia? Bukankah wahyu itu telah putus setelah wafatnya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.”
Kata Sayyidina Umar: “Wahai anakku, berkata benarlah sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Dia tidak dapat dilihat dengan pandangan mata dan Dialah Maha Luas Penglihatannya.” Sambung Sayyidina Umar lagi: “Masih ingatkah engkau, hari semasa engkau pergi ke satu majlis di perkampungan Yahudi dan mereka telah memberikan kamu minum arak sehingga kamu mabuk? Kemudian dalam keadaan mabuk kamu pulang melintasi perkampungan Bani Najjar di mana engkau bertemu dengan seorang perempuan lalu memperkosanya? Berkata benarlah anakku, kalau tidak engkau akan binasa.”
Abu Syahamah mendengar kenyataan ayahnya itu dengan perasaan malu sambil diam membisu. Dengan perlahan beliau membuat pengakuan: “Memang benar aku lakukan hal itu, tapi aku telah menyesal di atas perbuatanku itu.”
Sayyidina Umar menegaskan: “Tiada guna bagimu menyesal setelah berbuat suatu kerugian. Sesungguhnya engkau adalah anak Amirul Mukminin tiada seorang pun yang berkuasa mengambil tindakan ke atas dirimu, tetapi engkau telah memalukan aku di hadapan sahabat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.”
Kemudian Sayyidina Umar memegang tangan Abu Syahamah lalu membawa ke tempat para sahabat yang sudah sekian lama menunggu.
“Mengapa ayahanda melakukan ini?” Tanya Abu Syahamah.
“Kerana aku mahu tunaikan hak Allah semasa di dunia supaya aku dapat lepas daripada dituntut di akhirat kelak,” jawab Sayyidina Umar dengan tegas.Abu Syahamah dengan cemas merayu: “Wahai ayahandaku, aku mohon dengan nama Allah, tunaikanlah hak Allah itu di tempat ini, jangan malukan aku di hadapan sahabat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.”Jawab Sayyidina Umar: “Engkau telah membuat malu dirimu sendiri dan engkau telah menjatuhkan nama baik ayahmu.”
Apabila sampai di hadapan para sahabat mereka pun bertanya: “Siapakah di belakangmu wahai Amirul Mukminin?” Jawab Sayyidina Umar: “Wahai sahabatku, sesungguhnya di belakang aku ini adalah anakku sendiri dan dia telah mengaku segala perbuatannya, benarlah perempuan yang menyampaikan khabar tadi.”
Kemudian Sayyidina Umar memerintah budaknya (hambanya): “Wahai Muflih, pukullah anakku Abu Syahamah, rotanlah dia sehingga dia merasa sakit, jangan kasihani dia, setelah itu kamu aku merdekakan kerana Allah.”
Muflih agak keberatan untuk melakukannya kerana khuatir tindakannya itu akan memberi mudharat kepada Abu Syahamah, tetapi terpaksa mengalah apabila diperintah oleh Sayyidina Umar. Tatkala dia memukul Abu Syahamah sebanyak sepuluh kali, kedengaranlah Abu Syahamah dalam kesakitan: “Wahai ayahandaku, rasanya seperti api yang menyala pada jasadku.”
Jawab Sayyidina Umar: “Wahai anakku, jasad ayahmu ini terasa lebih panas dari jasadmu.”
Kemudian Sayyidina Umar memerintah Muflih memukul sebanyak sepuluh rotan lagi. Berkata Abu Syahamah: “Wahai ayahandaku, tinggalkanlah aku supaya aku dapat mengambil sedikit kesenangan.”
Jawab sayyidina Umar: “Seandainya ahli neraka dapat menuntut kesenangan, maka aku pasti akan berikan kepadamu kesenangan.”
Setelah itu Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu Syahamah sebanyak sepuluh rotan lagi. Abu Syahamah merayu: “Wahai ayahandaku aku mohon kepadamu dengan nama Allah, tinggalkanlah aku supaya aku dapat bertaubat.”
Jawab Sayyidina Umar dengan pilu: “Wahai anakandaku, apabila selesai aku menjalankan hak Allah, jika engkau hendak bertaubat pun maka bertaubatlah dan jika engkau hendak melakukan dosa itu lagi pun maka lakukanlah dan engkau akan dipukul seumpama ini lagi.”
Selanjutnya Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu Syahamah sebanyak sepuluh kali sebatan lagi.
Abu Syahamah terus merayu: “Wahai ayahandaku, dengan nama Allah aku mohon kepadamu berilah aku minum seteguk air.”
Sayyidina Umar menjawab dengan tegas: “Wahai anakandaku, seandainya ahli neraka dapat meminta air untuk diminum, maka aku akan berikan padamu air minum.”
Perintah Sayyidina Umar diteruskan dengan meminta Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh rotan. Abu Syahamah mohon dia dikasihani: “Wahai ayahandaku, dengan nama Allah aku mohon kepadamu kasihanilah aku.”
Sayyidina Umar dengan sayu menjawab: “Wahai anakandaku, kalau aku kasihankan kamu di dunia, maka engkau tidak akan dikasihani di akhirat.”
Sayyidina Umar selanjutnya memerintahkan Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh kali sebatan. Abu Syahamah dengan nada yang lemah berkata: “Wahai ayahandaku, tak kasihankah ayahanda melihat keadaan aku begini sebelum aku mati?”
Sayyidina Umar menjawab: “Wahai anakandaku, aku akan hairan kepadamu sekiranya engkau masih hidup dan jika engkau mati kita akan berjumpa di akhirat nanti.”
Sayyidina Umar terus memerintahkan Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh rotan. Dalam keadan semakin lemah Abu Syahamah berkata; “Wahai ayahandaku, rasanya seperti sudah sampai ajalku…..”
Sayyidina Umar dengan perasaan sedih berkata: “Wahai anakandaku, jika engkau bertemu Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, sampaikan salamku kepadanya, katakan bahawa ayahandamu memukul dirimu sehingga kau mati.”
Di saat yang semakin hiba ini Sayyidina Umar terus menyuruh Abu Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh kali rotan. Setelah itu Abu Syahamah dengan kudrat yang semakin lemah berusaha memohon simpati kepada para hadirin: “Wahai sekalian sahabat Rasulullah, mengapa kamu tidak meminta pada ayahandaku supaya memaafkan aku saja?”
Kemudian salah seorang sahabat pun menghampiri Sayyidina Umar dan berkatas: “Wahai Amirul Mukminin, hentikanlah pukulan ke atas anakmu itu dan kasihanilah dia.”
Sayyidina Umar dengan tegas berkata: “Wahai sekalian sahabat Rasulullah, apakah kamu tidak membaca ayat Allah dalam surah an-Nuur ayat 2 yang tafsirnya: “Jangan kamu dipengaruhi kasihan belas pada keduanya dalam menjalankan hukum Allah.”
Mendengar penjelasan Sayyidina Umar itu, sahabat Rasulullah pun diam tidak membantah, sementara itu Sayyidina Umar terus memerintah Muflih memukul sepuluh sebatan lagi.
Akhirnya Abu Syahamah mengangkat kepala dan mengucapkan salam dengan suara yang sangat kuat sebagai salam perpisahan yang tidak akan berjumpa lagi sehingga hari kiamat.
Kemudian berkata Sayyidina Umar: “Wahai Muflih, pukullah lagi sebagai menunaikan hak Allah.” Muflih pun meneruskan pukulan untuk ke seratus kalinya.
“Wahai Muflih, cukuplah pukulanmu itu,” perintah Sayyidina Umar apabila melihat anaknya tidak bergerak lagi. Setelah itu Sayyidina Umar mengisytiharkan: “Wahai sekalian umat Islam, bahawasanya anakku Abu Syahamah telah pergi menemui Allah.” Mendengar pengumuman itu ramailah umat Islam datang ke masjid sehingga masjid menjadi sesak. Ada di antara mereka sedih dan terharu, malah ramai yang menangis melihat peristiwa tersebut.
Menurut sumber lain, daripada Kitab Sirah Umar bin al-Khattab al-Khalifatul Rasyid umumnya masyarakat berpendapat kematian Abu Syahamah adalah disebabkan oleh pukulan rotan ayahnya sendiri Sayyidina Umar Radhiallah ‘Anhu.
Setelah selesai jenazah Abu Syahamah dikebumikan, pada malamnya Ibnu Abbas Radhiallahu ‘Anhuma bermimpi bertemu dengan Rasulullah Sallalllahu ‘Alaihi Wasallam yang wajah baginda seperti bulan purnama, berpakaian putih manakala Abu Syahamah duduk di hadapan baginda dengan berpakaian hijau. Setelah itu Rasululah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berkata: “Wahai anak bapa saudaraku, sampaikan salamku pada Umar dan beritahu kepadanya bahawa Allah telah membalas setiap kebajikannya kerana tidak mencuai-cuaikan hak Allah dan suatu kebahagiaan baginya sebab Allah telah menyediakan baginya beberapa mahligai dan beberapa bilik di dalam Jannatun Na’im. Bahawa sesungguhnya Abu Syahamah telah sampai pada tingkatan orang-orang yang benar di sisi Allah Yang Maha Kuasa.