Senja
merupakan waktu peralihan antara siang dan malam. Allah telah menjadikan
aturan yang khusus buat makhlukNya pada kedua-dua waktu yang tersebut.
Waktu siang adalah waktu untuk manusia bekerja dan mencari rezeki
manakala waktu malamnya pula adalah waktu untuk beristirehat dan tidur.
Firman Allah Taala dalam surah An Naba’ ayat 10-11: ”Dan Kami telah
menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi),
dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) sebagai masa
untuk mencari rezeki.”
Jika
siang adalah waktu untuk manusia keluar mencari rezeki, maka waktu malam
pula merupakan waktu di mana jin dan syaitan berkeliaran untuk
menjalankan kegiatan mereka. Justeru, tidak hairanlah jika pusat-pusat
maksiat seperti kelab malam, rumah pelacuran, disko, fun fair, pusat
judi, konsert hiburan dan karaoke aktif pada sebelah malam. Begitu juga
dengan aktiviti merempit dan lumba kereta lebih hangat di sebelah malam.
Menyedari bahayanya godaan dan gangguan pada malam hari, Nabi Muhammad
SAW mengingatkan umatnya dengan sabda Baginda: “Sekiranya manusia mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya mereka tidak akan berani berjalan sendirian di malam hari.”
Waktu
senja merupakan waktu permulaan bagi malam. Pada waktu ini, syaitan akan
keluar berkeliaran. Antara tabiat syaitan ialah mereka suka berada di
antara dua situasi atau dua keadaan. Contohnya antara siang malam dan
siang, antara teduh dan panas terik, antara sejuk dan dingin, antara
hujan dan panas. Nabi Muhammad SAW melarang seseorang untuk duduk antara
kawasan teduhan dan kawasan yang disinari cahaya matahari. Begitu juga
larangan orang-orang tua agar jangan bermain hujan panas kerana
dipercayai mudah terkena penyakit demam panas. Syaitan juga suka berada
di antara seorang lelaki dan seorang wanita (bukan mahram) yang duduk
berdua-duaan.
Jika
dianalisa lebih mendalam, lautan yang terletak di pertemuan antara dua
arus menjadi lokasi pilihan syaitan dan iblis untuk membina istananya.
Kepercayaan bahawa Segitiga Bermuda dan Segitiga Formosa (iaitu kawasan
yang selalu berlaku kehilangan kapal laut dan pesawat secara misteri)
sebagai kawasan yang dikuasai oleh kerajaan jin mungkin ada benarnya.
Kajian sains menunjukkan kedua-dua segitiga tersebut merupakan kawasan
pertemuan antara arus air hangat dan air yang dingin. Di dalam Shahih
Muslim, Nabi SAW bersabda “Sesungguhnya iblis meletakkan
singgahsananya di atas air. Kemudian dia mengutuskan para tenteranya
(untuk memfitnah manusia). Di antara para tentera itu, mereka yang
memiliki kedudukan yang paling hampir dengannya ialah yang paling hebat
dalam membuat fitnah.”
Ibnu
Qayyim Al Jauzi berkata, senja ialah waktu yang paling disukai syaitan.
Pergerakan syaitan pada malam hari lebih hebat berbanding di siang hari.
Sebab kegelapan malam memberikan kekuatan kepada mereka. Selain
kegelapan, warna hitam turut memberikan kekuatan kepadanya.
Pemuja-pemuja syaitan kebiasaannya memakai panji dan pakaian berwarna
hitam. Rasulullah SAW juga menyuruh agar membunuh anjing berwarna hitam
yang mempunyai titik putih di atas mata kerana ia adalah syaitan.
Jika
waktu pagi adalah waktu manusia berpusu-pusu keluar untuk bekerja, maka
waktu senja adalah waktu untuk syaitan dan jin keluar berpusus-pusu
untuk menjalankan operasi mereka. Bagi menghindari dari diganggu oleh
makhluk yang berkeliaran ini, maka Islam menetapkan beberapa ketentuan
yang boleh dijadikan sebagai panduan keselamatan.
1. Menahan kanak-kanak dari berada di luar rumah pada waktu senja
Ibnu
Hajar Al Asqalani dalam kitab Fathul Bari mengatakan bahawa antara
hikmah Rasulullah SAW melarang anak-anak bermain di luar rumah pada
waktu senja ialah kebimbangan terhadap keselamatan mereka dari gangguan
syaitan. Pada saat itu, kotoran-kotoran dan najis-najis yang sangat
disukai oleh syaitan biasanya masih melekat pada diri anak-anak ketika
mereka leka bermain. Kanak-kanak juga tidak membentengi diri mereka
dengan amalan-amalan zikir yang boleh mencegah gangguan syaitan terhadap
mereka. Ketika syaitan-syaitan berkeliaran, biasanya mereka akan
bergantungan pada apa sahaja yang boleh mereka jadikan gantungan. Kerana
itu dibimbangi terjadi hal-hal yang tidak diinginkan pada anak-anak
itu.
Dari satu
aspek lain, kanak-kanak terutamanya yang belum mumayyiz memiliki hati
yang bersih dari dosa dan tiada hijab. Oleh sebab itu, kebiasaannya
kanak-kanak dapat melihat makhluk-makhluk halus atau merasai tindakan
makhluk tersebut. Nabi SAW bersabda: “Setiap anak Adam ketika lahir
ditusuk di kedua tepi badannya oleh syaitan dengan jarinya kecuali ‘Isa
ibni Maryam, syaitan hendak menusuknya tetapi hanya berjaya menusuk uri
(ibunya).” Kerana itulah bayi yang baru lahir dapat merasai tusukan
tersebut lalu menangis. Tidak hairan juga jika ada bayi-bayi yang
menangis di waktu senja atau tengah malam kerana diganggu oleh
makhluk-makhluk ini. Untuk mengelakkan masalah ini dari terjadi, maka
ibu bapa dan ahli kelurga seharusnya menahan anak-anak dari keluar dan
mengunci pintu sebelum masuk waktu senja.
Selain
kanak-kanak, Islam juga melarang penganutnya membiarkan ternakan mereka
berkeliaran di waktu senja. Di kalangan jin dan syaitan, mereka juga
mempunyai haiwan ternakan. Boleh jadi dibimbangi haiwan ternakan manusia
ini akan dirosakkan oleh jin yang menyerupai anjing atau oleh haiwan
ternakan jin itu sendiri.
2. Menutup bekas minuman dan makanan ketika waktu malam
Waktu
malam adalah waktu di mana syaitan dan jin giat beroperasi. Mereka akan
memasuki segenap ruang termasuk kediaman manusia sama ada untuk menggoda
atau menumpang makan. Sabda Nabi Muhammad SAW dalam Shahih Muslim:” Apabila
seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan membaca
Bismillah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, maka syaitan akan
berkata kepada golongannya: “Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam
dan tidak juga makanan malam. Sebaliknya apabila seorang itu memasuki
rumah dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya, syaitan berkata
kepada golongannya: “Kalian telah mendapat tempat bermalam.”
Perintah
Rasulullah SAW agar menutup bekas air dan makanan ada asasnya. Penemuan
sains dan perubatan moden menunjukkan bahawa makanan atau minuman yang
terdedah akan mudah dimasuki kuman dan bakteria. Ianya boleh mengundang
pelbagai penyakit dan kemudaratan kepada kesihatan manusia. Dalam
memperkatakan perihal kuman, virus dan bakteria ini, Syeikh Rashid Ridha
menyatakan: ”Dan Ahli ilmu kalam (Tauhid) berkata: Sesungguhnya jin
itu adalah (makhluk Allah) yang hidup, bertubuh halus dan tidak boleh
dilihat. Dan sesungguhnya di dalam kitab Tafsir Al Manar, telah kami
nyatakan berkali-kali bahawa makhluk Allah yang hidup, bertubuh halus,
yang dikenali di zaman ini sebagai mikroorganisma menerusi mikroskop,
adalah sebenarnya satu jenis dari bangsa jin. Dan telah pun terbukti
bahawa ianya merupakan antara punca bagi kebanyakan penyakit.”
Kebolehan
jin, syaitan dan iblis memasuki tubuh manusia melalui salur darah
telahpun diketahui oleh Rasulullah S.A.W. melalui sabda Baginda: ”Sesungguhnya syaitan itu bergerak bebas di dalam tubuh anak Adam melalui saluran-saluran darahnya.”
Virus dan
bakteria adalah unsur luar yang tidak dikenali yang memasuki tubuh
manusia sama ada melalui udara, air atau sentuhan pada kulit dan
bergerak di dalam tubuh badan manusia melalui salur darah lalu menempati
di sel-sel serta organ-organ dalaman. Ini adalah bersamaan dengan sifat
kejadian jin yang halus dan boleh mengubah bentuk mengikut keadaan. Ia
boleh memasuki tubuh manusia melalui rongga tubuh yang terbuka dan
terdedah seperti mulut atau hidung mahupun liang-liang roma. Fakta ini
mempunyai persamaan dengan hasil kajian perubatan moden yang mendedahkan
punca bagaimana sesuatu penyakit yang merebak iaitu antaranya melalui
udara, sentuhan mahupun makanan yang tercemar. Sabda Rasulullah SAW yang
diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.: ”Jika seseorang dari kalian
menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya
syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).”
Begitu
juga saranan agar menutup bekas makanan dan minuman agar tidak dimasuki
kuman. Serangga dan haiwan melata seperti lipas, tikus, nyamuk, cicak
dan lalat yang tinggal di tempat-tempat yang disukai jin seperti
longkang, tandas dan tong sampah merupakan kenderaan yang menjadi
tunggangan jin berbentuk virus. Apabila serangga begini menyentuh
makanan yang tidak ditutup maka mereka akan memindahkan virus tersebut
kepada makanan. Dan serangga-serangga ini kebanyakkannya keluar di waktu
senja iaitu saat syaitan keluar berkeliaran.
Dalam
kitab Al Muwatta karangan Imam Malik, beliau mendengar riwayat bahawa
Saidina Umar hendak pergi ke Iraq. Ka’ab al Ahbar menasihatkan kepadanya
dengan berkata: “Wahai Amirul Mu’minin, janganlah engkau ke sana
kerana di sana sembilan persepuluh sihir dan di sana juga ada kumpulan
jin yang fasik serta wabak penyakit yang berjangkit.” Ianya jelas
menunjukkan bahawa antara hikmah suruhan menutup bekas makanan adalah
untuk menghindari mudarat penyakit yang berpunca dari gangguan jin
melalui pemakanan.
3. Membaca Bismillah bagi menghalang syaitan masuk
Sifat
kejadian jin dan syaitan sememangnya halus dan tiada berbentuk
sebagaimana kejadian api. Walau bagaimanapun, keistimewaan ini mempunyai
beberapa batasan. Antaranya ialah mereka tidak dapat menembusi sesuatu
yang disebutkan nama Allah (Bismillah) padanya. Nabi Muhammad SAW
bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Dan kuncilah
pintu-pintu kalian dan sebutlah nama Allah (dengan membaca Bismillah)
kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu-pintu yang dikunci
(dengan menyebut nama Allah). Ikatlah bekas-bekas air kalian dan
sebutlah nama Allah, tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah
nama Allah, walau pun (tutupan) itu sekadar meletakkan sesuatu di
atasnya dan matikanlah lampu-lampu pelita kalian.”
Selain
makanan dan minuman, aurat manusia juga menjadi perhatian syaitan.
Sesetengahnya menjadikan kemaluan manusia sebagai kediaman, dan
sesetengah yang lain pula duduk bertenggek pada aurat yang terdedah
seperti rambut, punggung dan dada wanita. Walaupun makhluk ini boleh
melihat aurat manusia, namun penglihatan tersebut menjadi terhalang
sekiranya manusia membaca doa-doa tertentu yang diwaridkan dari
Rasulullah SAW. Sebagai contoh, doa masuk tandas sebagaimana hadis yang
diriwayatkan dari Saidina Ali b. Abu Thalib bahawa Rasulullah SAW
bersabda: “Tabir antara mata jin dan aurat-aurat Bani Adam jika
salah seorang di antara kamu masuk bilik mandi hendaklah ia mengucapkan
Bismillah”. Begitu juga dengan aurat yang ditutup rapi semata-mata
kerana Allah (bukan kerana fesyen) menyebabkan syaitan dan jin tidak
dapat masuk. Maka disebabkan itulah Rasulullah SAW menyarankan umatnya
agar berdoa dengan doa masuk tandas mahupun ketika hendak bersama dengan
isteri. Amalan-amalan memagar dan mendinding rumah kediaman dengan
menggantung pelbagai bahan azimat, menyelit kertas-kertas wafaq dan
tangkal, atau menabur bahan-bahan tertentu yang kononnya boleh
menghalang kemasukan makhluk halus adalah tipudaya syaitan sangat
berbahaya. Makhluk yang ditugaskan untuk menjaga rumah itu adalah
syaitan dan jin yang sebenarnya akan menimbulkan masalah dan huru hara
dalam rumah di kemudian hari.
4. Memohon Perlindungan Allah dari angkara sihir dan bahaya malam
Oleh
kerana amalan sihir melibatkan penggunaan syaitan dan jin, maka tidak
hairanlah jika ada mangsa-mangsa sihir yang menjadi bertambah tenat dan
meracau-racau terutama bila tibanya malam. Pada waktu malam, segala
kejahatan mengambil peranan. Dalam surah al Falaq, Allah sendiri memberi
peringatan khas kepada umat Islam agar sentiasa berdoa memohon
perlindungan denganNya dari segala kejahatan: “Katakanlah (Wahai
Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan
sekalian makhluk dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan; Dan
dari bahaya gelap apabila ia masuk; Dan dari kejahatan makhluk-makhluk
yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); Dan
dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya”.
Oleh yang
demikian, kita sepatutnya mengisi waktu malam dengan amalan-amalan yang
boleh mengundang rahmat dan keredhaan Allah seperti bersolat, berzikir,
membaca Al Quran dan seumpamanya. Sekiranya rumah kita dipenuhi dengan
lagu-lagu yang melalaikan, atau filem-filem yang mengandungi unsur
khurafat dan tercela, atau aktiviti-aktiviti yang dimurkai Allah, maka
serangan sihir mudah berlaku kerana kita telah gagal membenteng diri dan
keluarga dengan perlindungan Allah.
5. Menjaga aurat terutama kepala ketika keluar rumah waktu senja
Waktu
senja adalah waktu syaitan giat menghasut dan menggoda manusia. Mereka
akan mencari ruang dan pintu yang boleh mereka tembusi pada tubuh
manusia. Para ulama bersepakat bahawa otak manusia merupakan antara
sasaran utama syaitan kerana itulah pengawalan segala aktiviti anggota
tubuh. Kita mungkin pernah mendengar pesan orang-orang tua kita agar
menutup kepala ketika keluar rumah pada waktu senja. Pesanan ini mungkin
ada hikmahnya. Kita dapat perhatikan amalan orang-orang alim yang
mendoakan kebaikan anak-anak dengan mengucup atau meniupkan doa pada
ubun-ubun mereka. Amalan ini dilakukan dengan harapan agara ubun-ubun
itu akan sentiasa mengilhamkan perkara-perkara baik untuk dikerjakan
oleh anggota tubuh. Sebahagian lagi menyarankan agar kita menutup
ubun-ubun dengan sesuatu agar ia tidak terdedah kepada bisikan syaitan
yang suka meracuni hati dan fikiran manusia.
Kajian
sains terhadap struktur otak manusia menemukan kebenaran ini. Menurut
Prof Keith L. More, di dalam otak manusia terdapat satu bahagian yang
dikenali sebagai frontal lobe yang menjadi pusat segala perancangan
manusia. Sama ada perancangan itu baik atau jahat, ianya bermula dari
situ. Menurut Sheikh Zahlun Najar dan Abdul Majeed Alzendanee, itulah
ubun-ubun. (rujuk Al Islam keluaran Mac 2010). Allah telah pun
menegaskan hal ini melalui firmanNya dalam surah al Alaq ayat 15-16 yang
bermaksud: “Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi Sesungguhnya
jika ia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami
akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka), (iaitu)
ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah.” Dalam surah Al Rahman ayat 41, Allah juga berfirman: “Orang-orang
yang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas
ubun-ubun kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka);
Menurut
satu qaul dalam mazhab Shafii, seseorang yang tidak menutup kepalanya
dengan suatu tutupan dianggap sebagai orang fasiq dan tidak bersifat
adil. Boleh jadi, itulah sebab orang-orang tua dahulu menyarankan agar
kita menutup kepala supaya syaitan tidak dapat meracuni fikiran kita.
6. Tidak membiarkan roh dan jasad lalai ketika tidur
Oleh
kerana syaitan suka berada di antara dua keadaan, maka waktu tidur
adalah antara waktu yang mudah untuk seseorang dimasuki syaitan. Ini
kerana waktu tidur terletak antara hidup dan mati seseorang sebagaimana
sabda Nabi SAW: “Tidur itu saudara mati.” Oleh yang demikian,
ketika manusia tidur dalam keadaan lalai, maka mudahlah syaitan menerjah
masuk ke dalam mimpi dan perasaannya. Adakalanya orang yang tidur akan
mengalami mimpi-mimpi yang menakutkan hasil serangan syaitan itu tadi.
Begitu juga dengan orang yang suka tidur di waktu senja menjelang
maghrib. Mereka akan mengalami kecelaruan fikiran tatkala bangun dari
tidur. Memang tiada dalil yang melarang seseorang tidur selepas asar.
Tetapi apabila diperhatikan kepada bahaya membiarkan jasad dalam keadaan
separuh sedar di saat syaitan berkeliaran, maka sesetengah ulama
melarang seseorang dari tidur selepas asar. Sesetengahnya berpendapat
sekiranya dilakukan 40 hari berturut-turut boleh menyebabkan jadi gila
(Dalam bahasa arab, orang gila disebut ‘Majnun’ yang bermakna ‘orang
yang dimasuki jin’). Besar kemungkinan ini disebabkan oleh penguasaan
syaitan terhadap otaknya.
Dalam kitab Mishkatul Masabih ada disebutkan: “Tidur
sedikit di waktu tengahari tidaklah dikeji. Rasulullah saw ada juga
melakukannya. Ini dapat mengimbangi kekuatan tubuh badan setelah
bertahajjud di malam hari.” Ibn Qaiyim menambah:”Tidur di siang hari
amat dikeji kerana ia akan mewarisi penyakit kebengkakkan (muka
kelihatan sembab dan tidak bercahaya) malapetaka, merosakkan warna
kulit, menimbulkan penyakit radang limpa, melemahkan urat saraf dan
melemahkan syahwat. Sekeji-keji tidur ialah ketika awal hari (matahari
terbit) dan terlebih keji lagi ialah tidur di akhir siang hari (selepas
Asar).”
Bagi
seseorang yang terpaksa keluar ketika mana para syaitan sedang
berkeliaran mencari mangsa, maka pendekatan yang harus dilakukan ialah
dengan mengamalkan apa yang ditunjuki oleh Nabi SAW iaitu: (1) berdoa
mohon perlindungan dari kejahatan jin dan syaitan,(2) pastikan diri
dalam keadaan suci dari hadas, (3) hati dan fikiran kena selalu berzikir
ingat kepada Allah, (4) tidak keluar bersendirian kecuali ditemani
seorang mahram, (5) menjauhi dari melalui kawasan-kawasan gelap atau
sarang maksiat, (6) menutup aurat terutama bahagian kepala.
No comments:
Post a Comment