Wednesday, 16 May 2012

Tangisan untuk Allah






‎”Selama ini kita selalu kecewa & patah hati apabila kehilangan atau jauh dari perkara2 fana yg dicintai. Sering meminta2 kpd Allah segala perkara dunia, rezeki, harta, anak-pinak, kesihatan, pangkat & jawatan. Tapi… pernahkah kita menangis & merayu untuk mendapat cinta-Nya? Pernahkah kita berasa sedih apabila jauh dari-Nya, hilang perhatian & kasih sayang-Nya? Usahlah memandang remeh kepada kecilnya kelalaianmu, takutilah kepada besarnya Keagungan yang telah kau ingkari. Jadikanlah Allah tujuan tertinggi hidupmu, nescaya segala langkah kehidupanmu akan selalu berada dlm bimbingan-Nya, segala perbuatanmu menjadi tasbih & pengabdianmu kpd Allah…”
“Dan kepada Allah sajalah bersujud segala apa yang berada di langit dan semua makhluk yang melata di bumi dan (juga) para malaikat, sedang mereka (malaikat) tidak menyombongkan diri.” (An-Nahl: 49)

Zikir terapi ajaib ubat kegersangan hati, roh insan



ZIKIR mempunyai kedudukan sangat istimewa kerana ibadah ini digalakkan Islam sebagai satu bentuk amal ibadah yang menunjukkan sifat tunduk serta patuh sepenuhnya kepada Allah, disertai pula rasa kasih, reda dan yakin kepada-Nya.
Mukmin yang sentiasa mengamalkan zikir akan dapat merasai kesannya seperti ketenangan jiwa. Firman Allah yang bermaksud:
(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu tenang dan tenteramlah hati manusia. (Surah Ar-Rad, ayat 28)
Dalam kehidupan, kita sering berdepan pelbagai cabaran dan dugaan sehingga ada ketikanya membawa kepada keresahan jiwa. Justeru, dengan sentiasa mengamalkan ibadah zikir, ia ibarat terapi ajaib yang menyembuhkan keresahan jiwa manusia. Namun, penyerapan roh zikrullah tidak datang kepada pengamalnya jika hati tidak bersama tatkala berzikir. Ketenangan hati orang mukmin terhasil daripada zikrullah adalah hakikat dalaman yang hanya boleh dirasakan oleh hati yang diselaputi kemanisan iman.
Selain itu, mukmin yang sentiasa berzikir akan diberikan ganjaran pahala yang besar. Ini janji Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Dan orang lelaki yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya serta orang perempuan yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya, Allah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzaab, ayat 35)
Walaupun zikir amalan yang mudah dilakukan, tetapi menjadi berat untuk dibiasakan. Antara penghalang kepada seseorang untuk membiasakan lidah berzikir ialah disebabkan dosa yang dilakukan.
Apabila daki dosa tertampal pada hati, ia terhijab untuk menggerakkan seseorang berzikir. Faktor lain, seseorang itu dibelenggu sifat mazmumah seperti hasad dengki, suka mengumpat dan sebagainya. Sifat keji seperti ini juga akan menghijab hati untuk berzikir.
Ibnu Taimiyah berkata, keperluan hati terhadap zikir umpama keperluan ikan terhadap air. Cuba bayangkan, bagaimana keadaan ikan jika kita keluarkan dari air.
Al-Imam Syamsuddin Ibnu Qayyim mengatakan: “Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh, apabila hamba Allah gersang daripada siraman zikir, maka jadilah ia bagaikan tubuh yang terhalang untuk memperoleh makanan asasnya.”
Demikian penting dan tingginya kedudukan zikir kepada seseorang mukmin. Kita seharusnya berpegang kepada prinsip hidup, tidak sempurna hari tanpa zikir. Inilah yang seharusnya kita didik supaya lidah dan hati sentiasa berzikir kepada Allah.
Ibnu Masud ada mengatakan: “Sesungguhnya aku bertasbih beberapa kali itu lebih aku sukai daripada aku menderma beberapa dinar dalam jumlah yang sama di jalan Allah.”
Zikir berkhasiat pula sebagai ubat bagi kekerasan hati.
Dikisahkan bahawa ada seseorang bertanya kepada Hasan al-Basri: “Ya Abu Said, aku ingin mengadu kepada tuan, mengapa hati aku ini menjadi keras begini?”Lantas kata Hasan: “Lunakkanlah hatimu itu dengan zikir.”
Kedudukan tinggi amalan berzikir turut digambarkan dalam kisah seorang bertanya kepada Salman al-Farisi: Amal apakah yang paling utama? Kemudian dijawab Salman: “Tidakkah engkau pernah membaca ayat, Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (keutamaannya) daripada ibadah yang lain.”(Surah Al-Ankabut ayat 45)
Abdullah bin Masud pernah berkata: “Sesungguhnya sebuah gunung menyeru gunung yang lainnya dengan namanya dan bertanya, apakah hari ini ada orang yang lalui di atasmu dan menyebut Allah (berzikir)? Maka apabila gunung itu menjawab, ya, maka ia akan gembira.”
Demikian juga riwayat yang mengatakan Abdullah bin Abbas pernah berkata: “Tidak ada sebuah lembah yang di atasnya disebut nama Allah kecuali ia akan merasa bangga atas lembah yang berada di sekelilingnya, ia merasa gembira dengan zikir yang diucapkan itu. Kegembiraan itu juga turut dirasai oleh tujuh lapis di bawah lembah itu.”
Begitulah gambaran jelas menunjukkan betapa amalan zikir mempunyai keistimewaan besar yang seharusnya menjadi amalan rebutan setiap mukmin untuk mencapai keredaan Allah dan menikmati ketenangan hidup.

Hayati Kalimah Tauhid perjuangan sebenar Hijrah


Umat perlu bertekad jauhi perkara cemar akidah agar Islam subur sebagai cara hidup
KALENDAR Islam diperkenalkan pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Beliau dan sahabat memutuskan untuk meletakkan tarikh permulaan kalendar Islam pada tahun Nabi Muhammad SAW dan sahabat berpindah dari Makkah ke Madinah. Ia dipilih kerana menjadi titik mula kejayaan dakwah Islam sehingga tersebar ke seluruh dunia itu diingati serta dirai umat Islam setiap tiba 1 Muharam.
Namun, ada yang melihatnya sebagai sambutan tahun baru umat Islam. Oleh itu, ramai gagal menghayati semangat hijrah yang pada hakikatnya memberi kesan besar terhadap umat Islam. Hijrah tidak tamat selepas berpindah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah seperti ditegaskan oleh sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Hijrah tidak akan terputus sampai taubat terputus dan taubat tidak akan terputus sehingga matahari terbit dari barat.” (Hadis riwayat Abu Dawud)
Hijrah mempunyai banyak maksud antaranya berpindah dari negeri syirik ke negeri Islam seperti dilakukan Nabi Muhammad SAW dan sahabat. Oleh itu, umat Islam yang bermastautin di negara orang kafir dan tidak berupaya mengamalkan agamanya malah ditindas, wajib berpindah ke negara Islam jika memiliki kemampuan.
Dalil mewajibkan hijrah sebegini adalah firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang diambil nyawanya oleh malaikat ketika mereka menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas kaum kafir musyrik), mereka ditanya malaikat: Apakah yang kamu lakukan mengenai agama kamu? Mereka menjawab: Kami dulu ialah orang yang tertindas di bumi. Malaikat bertanya lagi: Tidakkah bumi Allah itu luas yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya? Maka orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam dan neraka jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah al-Nisaa’, ayat 97)
Tetapi hijrah seperti tidak diwajibkan bagi mereka yang tidak memiliki kekuatan fizikal mahupun ekonomi. Firman Allah bermaksud:
“Kecuali orang yang lemah (lagi uzur) daripada lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka, mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Nisaa’, ayat 98-99)
Hijrah juga bermaksud meninggalkan apa yang dilarang Allah menuju kepada perintah-Nya. Sabda Nabi SAW bermaksud:
“Muslim ialah seseorang yang kaum Muslimin selamat daripada gangguan lisan dan tangannya dan seorang muhajir (orang berhijrah) ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang Allah.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Hijrah dalam pengertian ini menuntut kita mengikhlaskan segala amal ibadat hanya kepada Allah dan membela kalimah tauhid. Hendaklah meninggalkan amalan syirik dan menyemai benih tauhid kepada seluruh umat Islam.
Kita mesti mempertingkat usaha membersihkan umat Islam daripada perkara mencemari akidah. Segala khurafat, tahyul dan syirik harus dibanteras sehingga ke akar umbi.
Bagi yang menerima dan memelihara kalimah tauhid, Allah akan memberikan keselamatan dan bagi mereka yang menentangnya, Allah akan memberi balasan yang pedih.
Setiap kali muncul Maal Hijrah, marilah kita berusaha menerapkan konsep hijrah yang sebenar supaya ia memberi manfaat besar dalam hidup setiap umat Islam. Muncul tarikh 1 Muharam menunjukkan berpisah kita dengan tahun lalu. Seharusnya kita bermuhasabah.
Jika ada kekurangan maka segeralah perbaikinya. Jika ada dosa hendaklah segera bertaubat. Jika kita sudah mengerjakan amalan soleh, maka berazam meneruskannya bahkan mempertingkatkan amalan pada tahun baru ini.

Wahai jiwaku..



Wahai jiwaku,
Engkau hanya mempunyai sekali hidup. Tiada sesaat pun yang telah dilalui boleh dikembalikan kerana dalam perbendaharaan Allah jumlah nafas bagimu sudah ditentukan dan tidak dapat ditambah.
Ketika kehidupan telah berakhir, tiada lagi lalu lintas rohaniah yang mungkin engkau perolehi. Kerana itu, apa yang dapat engkau kerjakan, kerjakanlah sekarang.
Beramallah hari ini sedemikian rupa seakan-akan hidupmu telah engkau habiskan dan bahawa hari ini adalah hari tambahan yang dianugerahkan kepadamu oleh rahmat Tuhan Yang Maha Berkuasa.
Kekeliruan apa lagi yang lebih besar daripada mensia-siakannya?

Saturday, 12 May 2012

Temani aku hingga ke syurga..



Mari lewati lorong waktu, menyusuri jalan-jalan dunia yang penuh tipu daya, dengan kebersamaan. Tapaki pergiliran pagi, siang, petang dan malam, yang penuh liku, dengan persahabatan dalam keimanan. Di dunia ini, kita harus saling berpegangan tangan. Harus. Kita tak mungkin selamat mengharungi bahtera kehidupan yang sangat luas dengan ancaman badai fitnah ini, seorang diri. Kita tak dapat lolos dari ancaman fitnahnya dengan hanya mengandalkan kemampuan sendiri. Kerana, kita diciptakan sebagai makhluk yang penuh kelemahan dan mudah terpedaya.
“Dan diciptakan manusia itu dalam keadaan lemah.” (Qs. An Nisa:28)

Saudaraku,
Kebersamaan dan pertemanan di jalan Allah lah yang akan menghantarkan kita menyelesaikan hidup dengan kebaikan. Persaudaraan, kebersamaan dan persahabatan di jalan Allah lah yang juga akan mengiringi kita pada kebahagiaan akhirat. Allah SWT memberitakan bahwa hanya pertemanan atas dasar iman dan takwalah yang abadi.
“Teman-teman akrab pada hari itu (hari kiamat) sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” (Qs. Az Zukhruf: 67).
Ibnu Katsir mengatakan, “Seluruh pertemanan dan persahabatan yang tidak kerana Allah pada hari kiamat akan berubah menjadi permusuhan.” Begitu juga pesan Rasul SAW dalam haditsnya, yang menyebutkan bahwa kita akan dibangkitkan di hari kiamat bersama orang yang kita cintai.
Saudaraku,
Merenunglah. Siapa orang-orang yang kita cintai? Siapa orang-orang yang paling dekat dalam hidup dan hati kita? Siapa orang yang menghiasi ingatan kita? Siapa orang yang menemani langkah-langkah hidup kita? Orang solehkah dia? Mengajak pada kebaikan dan keridhaan Allah kah dia? Bayangkanlah persahabatan orang beriman di akhirat sebagaimana digambarkan oleh Ali bin Abi Thalib RA. “Ada dua orang mukmin yang bersahabat dan berteman akrab. Salah seorang di antara keduanya meninggal lebih dahulu dan ia mendapat berita gembira dengan syurga. Ketika itu ia mengingat teman akrabnya di kala di dunia lalu in berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya fulan adalah teman akrabku, dia yang menganjurkanku berlaku taat kepada-Mu dan kepada Rasul-Mu. Dia yang mengajakku melakukan kebaikan dan mencegahku melakukan kemungkaran. Dia juga yang menyadarkanku akan pertemuan dengan-Mu. Ya Allah jangan Engkau sesatkan dia sepeninggalku sampai Engkau memperlihatkan kepada-nya kenikmatan yang Engkau berikan padaku dan sampai Engkau meridhainya sebagaimana Engkau ridha kepadaku,” Maka Allah berkata kepadanya, “Pergilah, seandainya engkau tahu yang Aku berikan kepadanya pasti engkau akan banyak tertawa dan sedikit menangis. “
Kemudian teman akrabnya itu meninggal dan ruh mereka bertemu. Dikatakan pada mereka, “Saling memujilah kalian kepada sahabat kalian.” Maka masing-masing mereka mengatakan, “Dia adalah sebaik-baik teman, sebaik-baik saudara, sebaik-baik sahabat….”
Duhai indahnya. Pertemuan yang sangat mengesankan dan penuh kegembiraan.
Saudaraku,
Banyak kisah-kisah yang ditinggalkan para salafusoleh tentang keadaan mereka setelah meninggal dunia. Di antaranya disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam kitab Ar-Ruh. Abdullah bin Mubarak mengatakan, “Aku mimpi bertemu Sufyan Ats Tsauri beberapa hari setelah ia meninggal dunia. Aku bertanya padanya, “Apa yang Allah lakukan terhadapmu sekarang?” Ia menjawab, “Aku bertemu Muhammad (SAW) dan pasukannya..”
Dalam kisah lain, Ibnu Abid Duniya menyebutkan sebuah riwayat dari Yaqzhah binti Rasyid yang bercerita, “Marwan Al Mahlamy adalah tetanggaku. Dulu dia seorang hakim dan bersungguh-sungguh dalam ibadah ketika meninggal dunia aku menangkap kegembiraan yang terpancar dari mukanya. Tak berapa lama setelah itu aku mimpi bertemu dengannya, seperti layaknya mimpi yang terjadi dalam tidur. Aku bertanya, “Wahai Abu Abdullah apa yang Allah lakukan terhadap dirimu.“ Ia menjawab, “Allah memasukkan aku ke dalam syurga,” jawab-nya. “Kemudian apalagi?” “Aku dipertemukan dengan golongan kanan,” jawabnya. Kemudian apa lagi?” “Aku dipertemukan dengan orang-orang yang mendekatkan diri kepada Allah.” Aku bertanya, “Siapa orang yang engkau lihat di sana?” tanyaku. “Aku melihat Al Hasan bin Sirrin dan Maimun bin Sayyah,” jawabnya.
Seperti itulah keadaan mereka setelah meninggalkan dunia. Bertemu dengan orang-orang yang dahulunya menjadi teman dan penghias hari-hari mereka. Orang-orang soleh yang menjadi ingatan mereka dalam hidup. Mereka itulah yang akan menemaninya di alam akhirat.
Saudaraku,
Hati-hatilah menyusuri jalan kebersamaan dengan orang-orang soleh. Waspadalah untuk tidak melakukan penyimpangan, yang membuat kesenjangan diri kita dengan mereka. Salim bin Abi Ja’ad mengatakan bahwa Abu Darda pernah berkata, “Hendaklah seseorang berhati-hati bila ia dibenci oleh hati orang-orang beriman dari arah yang tidak ia sadari.” Kemudian sahabat Abu Darda bertanya, “Tahukah kalian apa yang dimaksud dengan kata-kata itu?” Salim mengatakan bahwa ia tidak mengerti. Abu Darda menjelaskan, “Yaitu seorang hamba bermaksiat kepada Allah dalam keadaan sendiri lalu Allah menghunjamkan kemarahan-Nya dalam hati orang-orang beriman tanpa ia sadari.” (Al-Hilya: 1/215)
Kemarahan hati orang beriman, adalah kesengsaraan. Kebencian orang-orang yang beriman adalah pangkal kesempitan dan penderitaan. Kerana merekalah sebenarnya yang dapat mengubah dunia dengan segala permasalahannya menjadi indah. Mulut-mulut merekalah yang menuangkan nasihat dan membicarakan kalimat demi kalimat yang dapat menentramkan hati. Lidah-lidah merekalah yang menyiram hati kita untuk senantiasa berada dalam keridhaan dan tidak terlalu jauh menyimpang dari ridha Allah SWT. Tangan-tangan merekalah yang menuntun kita. Telapak tangan merekalah yang tertengadah di malam sunyi dan gelap malam hingga memberi kekuatan iman dalam diri kita. Ingatlah sabda Rasulullah SAW tentang do’a seorang mukmin di tengah malam yang dijamin diterima Allah SWT.
Saudaraku,
Bersahabat dengan mereka, akan mendekatkan kita pada Allah. Dan ketaatan kita pada Allah, juga akan mendekatkan kita pada mereka. Ibnu Asakir meriwayatkan, Abu Darda‘ menulis surat pada Maslamah bin Makhlad. “Seorang hamba jika ia telah berbuat kebajikan untuk taat kepada Allah, maka Allah mencintainya. Bila Allah telah mencintainya, Allah akan menjadikan makhluk cinta padanya. Dan bila ia bermaksiat pada Allah, maka Allah akan memarahinya. Bila ia telah dimarahi olehNya, Maka Allah akan menjadikan seluruh makhluk benci padanya.” (Al Kanz, 8/255)
Semoga Allah menghimpun kita dalam golongan orang-orang yang mendapat ridha-Nya di akhirat.
Amin Allahuma amin..
————————————–
P.S. Tuntuni aku hingga ke syurga.

Apabila...


Apabila hidupmu hanyut dengan nikmat,
sehingga ibadah pun terasa hilang manisnya atau..
Apabila hidupmu terasa sempit tersepit terjerat,
Mungkinkah engkau teralpa, terlupa..
akan air mata taubat penyesalanmu pada suatu ketika?

Sekejap-sekejap saja



Sebuah renungan..
‘Usahlah kau menagih belas kasihan dari manusia,
kerana belas kasihannya sekejap sekejap saja.
Bila kau sebatang kara dan menangis,
mungkin manusia akan mendengar keluhanmu,
tapi sekejap sekejap saja.
Mereka akan bosan pada satu ketika,
kerana itulah tabiat manusia.
Lebih parah bila kau di uji si muka-muka
yang gelumang nifaq dan cinta dunia
Kecuali mereka yang telah dikurniakan Allah
rahmat pada jiwa-jiwanya.
 (Quran, 12:53)
Palingkan wajahmu hanya kepada Dia -
yang lebih dekat dari urat lehermu,
yang lebih Menyayangi dan Mengasihanimu..
walaupun kau sering saja lupa taat,
sujud dan bersyukur di atas segala nikmat,
yang telah zahir kepadamu dan yang tidak terlihat
..bahkan kau selalu saja derhaka dan bermaksiat.
Jika sedikit ditarik nikmat-Nya,
kau pasti terduduk, ternganga.
Tiada manusia yang terlalu gagah untuk hidup tanpa Allah.
Jangan kau zalimi diri.. jangan kau berulah,
jangan kau zalimi orang yang lemah,
kerana Yang Membalas dan Membelanya adalah Allah.
Al-Jabbar, Yang Maha Gagah
Bila sakit, ingat.
Bila suka, lupa.
Sedarlah.
Malulah.
Beradablah kepada Allah.
Sebelum berakhir perjanjian,
antara jasad dan jiwa.’
Duhai Tuhan Pemilik Arasy yang Agung,
kepada-Mu kuserah jiwa dan raga,
Apa yang telah Kau tetapkan sebagai anugerah,
akan tetap sebagai anugerah.
Tanpa-Mu aku kan hilang segala-galanya.
Pandangan Kasih dan Rahmat-Mu, yang kurayu dan kudamba,
sehingga ke penghujung nyawa.
 --------------------------------------------------------------------------------------------------------------------- -------
P.S. Memandang dia, aku pun ingat pada-Nya. Dan cinta pada Sang Pencipta, yang menjadikan aku sebagaimana adanya, semakin membening. Subhanallah, Maha Besar Engkau ya Rabbi, yang telah memberi anugerah pertemuan ini. Rahmatilah jiwa-jiwa kami, sebagaimana Engkau rahmati jiwa-jiwa yang muthma’inah. Kekalkanlah persaudaraan kami, dalam mulianya budi pekerti dan murninya ikhlas – fi sabilillah.. sehingga ke syurga-Mu, selamanya.