Tuesday, 12 July 2011

Perempuan Sebaik Perhiasan Duniawi




Perkongsian hari ini tentang SAYA. Perempuan.Benarlah perempuan itu ibarat permata.Kerana kecantikannya, dia dipandang oleh semua manusia.Kerana keindahannya, dia dipuja oleh sekalian insan.Tetapi kerana kehalusan peribadinya, dia dinilai oleh seseorang yang amat mengerti tentang hakikat sebenar seorang wanita.

Keindahan peribadinya ibarat kehalusan seni sebutir permata yang hanya mampu dinilai oleh seorang pakar yang benar-benar mengerti tentang keunikan rekabentuk sebutir permata di antara beribu-ribu permata yang terhampar.
Jadi,andai dirimu tercipta dengan penuh keindahan, bersyukurlah kerana itu adalah anugerah-Nya dan menjadi perhiasan kepada peribadi yang indah.Tiada gunanya rupa yang jelita tanpa pekerti yang mulia.

Andai dikau merasa dirimu tak seindah permata di sekelilingmu, tiada apa yang perlu dirisaukan.Mengapa tak perlu gusar? Itu semua ujian Tuhan untuk menguji keimananmu kepada-Nya serta menguji ketabahanmu pada ketentuan takdir-Nya.Sebenarnya, kehalusan peribadimu menjadi idaman setiap insan yang hanya mencari permata yang hakiki.
Dia tidak memandang pada keindahan luaran, tetapi dia hanya meneliti keindahan dalaman, kesempurnaan dari sudut agamanya,yang boleh membimbingnya ke arah jalan yang diredhai Tuhan.Insan seperti ini wujud setiap masa dan di mana-mana saja, cuma kuantitinya sahaja yang agak sedikit berbanding lelaki yang biasa.
Allah sendiri berfirman dalam Surah Ali ‘Imran (3:139) yang mana Allah menegaskan, “Janganlah kamu merasa lemah dan jangan pula kamu bersedih hati,sedangkan kamu orang yang tinggi darjatnya jika kamu beriman,”(ayat ini asalnya ditujukan buat muslimin yang ingin berperang di jalan Allah).
Biarpun ayat ini ditujukan umumnya buat mukminin kerana penggunaan kalimah yang bersifat muzakkar, tetapi ayat ini boleh juga ditujukan kepada wanita kerana di dalam Al-Quran ayat yang ditujukan buat lelaki sebenarnya ditujukan umum buat seluruh manusia lelaki dan perempuan.Jadi, bolehlah ditafsirkan bahawa ayat ini merupakan pujukan lembut daripada Allah buat insan yang beriman yang merasa lemah dan berduka
.

Ya, mungkin pada pandangan orang lain dirimu tak sehebat mana kerana keindahanmu tersimpan rapi di dalam diri,namun ianya terserlah pada pandangan insan yang benar-benar memahami peribadi sebenar wanita bergelar muslimah sejati.

Ingatlah,wanita yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik pula (An-Nur,24:26).Semuanya sudah diatur rapi oleh Tuhan.Wanita yang beriman tidak akan sekali-kali dimiliki oleh lelaki yang buruk akhlaknya dan lelaki yang beriman pula tak akan ditemani oleh perempuan yang buruk tingkah lakunya.Ini kerana perkongsian hidup antara yang baik dengan yang buruk tak akan serasi sama sekali.
Buat para muslimin,carilah permaisuri hati yang sempurna agamanya kerana merekalah yang mampu membawa kita ke taman impian di sana nanti,iaitu raudhatul jannah di negeri abadi, insya-Allah.Andai kau mengira permaisurimu tak seindah yang kau impikan, tak mengapa.

Tak dinafikan, memang fitrah manusia menyukai keindahan rupa, tetapi adakalanya apa yang kita suka itu tak semestinya baik untuk kita dan mungkin apa yang kita tak suka itu amat baik untuk kita.Itu semua ketentuan Tuhan.

Tunggulah, kecantikan sebenarnya akan terserlah di akhirat nanti.Pada saat itu barulah kau merasa benar-benar bersyukur kerana mempunyai isteri sebaiknya.Kecantikan di dunia hanyalah kecantikan sementara tetapi di sanalah kediaman yang abadi.Itulah janji Tuhan.Sesungguhnya,Allah tak akan sama sekali memungkiri janji-Nya.

Kesimpulannya di sini, keindahan seorang wanita hanya terletak pada kesempurnaan agamanya.Keindahan fizikalnya hanyalah perhiasan luaran anugerah sementara daripada Tuhan yang mungkin boleh lenyap apabila tiba masanya.Itulah fitrah manusia,tiada apa yang kekal pada kita.

No comments:

Post a Comment