Langit tidak selalu cerah. Kita mengharapkan panas hingga ke petang, tiba-tiba hujan ditengahari. Ini adalah sebahagian dari kata-kata orang tua-tua berkaitan dengan kehidupan kita. Tentunya kata-kata ini tidak lahir secara kebetulan tetapi melalui pengalaman yang terbukti berulang-ulang kali.
Inilah hakikat kehidupan yang sebenarnya. Namun kita masih lagi terkejut apabila berdepan dengan masalah yang tidak kita jangkakan. Kita inginkan kehidupan kita berlangsung sebagaimana yang kita rancang dan harapkan. Apabila ada penghalangnya kita kecewa dan marah.
Pernah seorang salafussoleh, suatu hari pulang ke rumah dengan sebiji buah tembikai sebagai buah tangan untuk isterinya. Apabila isterinya membelah buah tembikai tersebut, didapati buahnya busuk dan tidak boleh dimakan. Isterinya meluahkan kata-kata yang menggambarkan kemarahannya. Si suami lalu bertanya "Siapa yang kamu marah? Adakah kepada penjual, kalau dia tahu tentu dia tidak akan jual buah ini, atau adakah kamu marahkan petani, kalau boleh dia nak semua buah yang ditanamnya elok atau kamu marahkan Allah SWT yang menentukan segala-galanya".
Beginilah sepatutnya sikap seorang yang beriman, apabila kita kegelapan kita tidak akan marahkan kegelapan tetapi kita mencari jalan bagaimana untuk mendapatkan cahaya. Kita sentiasa pasrah kepada apa yang telah diputuskan oleh Allah SWT. Segala perancangan dan ketentuan Allah adalah sempurna dan terbaik untuk kita cuma mungkin kerana kelemahan serta kekurangan ilmu, kita tidak dapat melihat hikmah yang terkandung disebalik semua kepahitan yang kita tempuhi.
Namun hakikatnya memang begitu dan inilah tuntutan keimanan.....kita meyakini segala keputusan Allah itu adalah yang terbaik cuma kita yang terlalu kerdil dan jahil untuk menggali hikmah disebalik semua kejadian yang menimpa kita.
Inilah KEPASRAHAN sebenar iaitu menerima ketentuan Allah dengan dada yang lapang dan hati yang tenang dan kepasrahan ini perlu berlaku dalam setiap keadaan senang atau susah, secara teori atau amali. Inilah sumber kekuatan jiwa. Kalaupun kita rasa tertekan dan mengeluh, adakah penyakit itu akan sembuh dengan sendirinya? Tentunya tidak. Jadi kita berusaha sebaik mungkin kerana usaha itu sendiri adalah sesuatu yang dituntut oleh Allah SWT keputusannya kita serahkan kepada Allah SWT.
Kepasrahan adalah sumber ketenangan dan kepuasan hidup. Kehidupan kita sememangnya padat dengan ujian dan halangan namun kepasrahan ialah rawatan dan sumber kekuatan jiwa untuk berdepan dengannya. Kepasrahan mengajar kita erti kesabaran dan redha kepada segala kehendak Allah SWT.
No comments:
Post a Comment