Thursday, 24 February 2011

Lelaki Idaman .. hingga ke syurga

Biarlah dia seorang yang buta
Kerana matanya sunyi dari melihat perkara-perkara maksiat dan laghah
Kerana kedua matanya terpelihara dari memandang aurat wanita ajnabi
Asalkan kedua matanya terang dalam memerhati keagungan ciptaan Allah
Asalkan dia celik dalam melihat kesengsaraan umat Islam di Palestin, Bosnia, Ambon dan seumpamanya

Biarlah dia seorang yang bisu
Bisu dari pujuk rayu yang bisa mengoncang keimanan
Bisu dari mengungkapkan ungkapan yang bisa meracun fikiran
Bisu dari perkataan yang bisa mengundang kekufuran
Asalkan bibirnya sentiasa basah mengingati Tuhan
Asalkan lidahnya tidak pernah lekang dari membaca Al-Quran
Asalkan dia petah membangkang kemungkaran dan dia lantang menyuarakan kebenaran

Biarlah dia seorang yang bakhil
Bakhil dalam memberi senyuman pada wanita yang bukan mahramnya
Bakhil dalam meluangkan masa untuk membuat temujanji dengan wanita ajnabi yang boleh dinikahinya
Bakhil untuk menghabiskan wang ringgitnya kerana seorang wanita yang tidak sepatutnya
Tetapi dia begitu pemurah meluangkan masanya untuk beribadah dengan Khaliqnya
Dia begitu pemurah untuk mempertahankan aqidahnya
Pemurah dalam memberikan nasihat dan teguran
Sehingga dia sanggup menggadaikan hartanya bahkan nyawanya demi melihat kalimah syahadah
Kembali megah di muka dunia

Biarlah dia seorang yang papa
Papa dalam melakukan perkara maksiat
Papa dalam ilmu-ilmu yang tidak berfaedah dan tidak bermanfaat
Papa memiliki akhlaq mazmumah
Tetapi dia cukup kaya dalam pelbagai ilmu pengetahuan
Dia begitu kaya memiliki ketinggian akhlaq dan budi pekerti yang mulia
Dia begitu kaya dengan sifat sabar dalam mengharungi tribulasi kehidupannya
Dan dia seorang yang kaya dalam menanam impian untuk menjadi seorang syuhada yang syahid di jalan Allah.

No comments:

Post a Comment