Sunday 31 July 2011

Lets... :))

Oh Rasulullah! i would like to know u moree..



Diriwayatkan oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah wan-Nihayah bahawa dalam sebuah kisah yang disampaikan oleh Sayyidina Umar al-Khattab r.a. :

Rasulullah saw sedang berjalan bersama dengan sekumpulan para sahabat, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi dari Bani Sulaim ke hadapan Rasulullah saw. Beliau membawa bersamanya seekor biawak padang pasir (dhab) yang ditangkapnya, dan bercadang untuk membakar haiwan itu untuk dimakan.


Melihat ramai yang berjalan itu, beliau (Arab Badwi) tertarik untuk mendekati dan bertanya siapakah gerangan yang sedang mereka iringi. Apabila diberitahu bahawa mereka sedang mengiringi Nabi, maka dia terus mendekati Nabi lantas berkata, “Demi tuhan Lata dan Uzza, tiadalah sesuatu yang terdapat di alam ini yang lebih kubenci daripadamu wahai Muhammad! Kalaulah tidak kerana kaumku memanggilku dengan panggilan yang tergesa-gesa, tentulah aku sudah memenggal kepalamu lalu aku dapat mengembirakan hatiku dan hati semua manusia yang berkulit hitam, putih dan merah serta selainnya!”


Sayyidina Umar al-Khattab menjadi marah, lalu bangkit dan berkata,”Wahai Nabi! Biarlah saya mengakhiri hidupnya!”

Nabi saw tenang menjawab permintaan Umar r.a., “Wahai Umar! Tidakkah engkau tahu bahawa orang yang lemah lembut itu hampir diangkat menjadi Nabi?”
Nabi kemudian berkata kepada Arab Badwi itu,”Apa yang menyebabkan engkau berkata demikian? Sepatutnya engkau menghormatiku dalam perhimpunan bersama sahabatku!”
Arab Badwi tersebut tidak mengalah bahkan sebaliknya berkata, “Demi tuhan Latta dan Uzza! Aku takkan beriman kepadamu hai Muhammad hinggalah biawak ini beriman kepadamu,” katanya sambil mengeluarkannya ke hadapan Nabi saw.


Nabi s.a.w. memanggil biawak itu. Kedengaran biawak itu menjawab dengan bahasa Arab yang fasih dan difahami oleh semua yang hadir, “Ya wahai Nabi s.a.w.!”
Nabi bertanya,”Kepada siapakah engkau beriman?”

Jawab biawak itu,”Saya beriman kepada Tuhan yang di langit itu ‘Arasy-Nya, di bumi itulah kekuasaan-Nya, dan di lautan itulah jalan-Nya, di Syurga itu rahmat-Nya, dan di Neraka itu azab-Nya!”


Tanya Nabi lagi,”Aku ini siapa wahai biawak?”
Jawab si biawak, “Tuan adalah utusan Allah, yang memiliki sekalian alam! Amatlah beruntung orang yang mendokong perjuangan tuan, dan binasalah orang yang mendustakan tuan!”


Mendengar kata-kata biawak itu, Arab Badwi itu lantas berkata, “Wahai Muhammad! Sebelum ini engkau merupakan orang yang paling aku benci, tetapi hari ini engkau adalah orang yang paling aku kasihi berbanding dengan bapaku, diriku sendiri, engkau amat kukasihi zahirku dan batinku.”


Kemudian beliau mengucapkan kalimah syahadah di hadapan semua yang hadir :
“Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi adalah pesuruh-Nya.”


Lalu Rasulullah s.a.w. berkata, “Syukur kepada Allah yang telah menganugerahkan hidayah-Nya kepadamu, sesungguhnya Islam ini adalah yang paling tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya, dan ia tidak diterima tanpa solat, dan solat pula tidak diterima melainkan dengan al-Qur’an.”


Jawabnya, “Kalau begitu ajarlah saya al-Qur’an itu, wahai Nabi.” Nabi pun mengajarkannya membaca surah al-Ikhlas.


Beliau berkata, “ Saya tak pernah mendengar kata-kata yang lebih hebat daripada ini!”
Nabi menambah, “Ini adalah perkataan Allah, bukannya sajak, jika engkau membaca surah al-Ikhlas ini sekali, ganjarannya di sisi Allah seumpama engkau membaca sepertiga dari al-Qur’an. Jika engkau membaca dua kali seumpama dua pertiga dari al-Qur’an dan jika engkau membaca tiga kali seumpama engkau telah membaca keseluruhan al-Qur’an."

Jawab Arab itu, “Tuhan itu adalah Tuhan kami, Dia menerima dari kita sedikit tapi membalasnya dengan banyak!”


Nabi bertanya kepadanya,”Adakah kamu memiliki harta?” Jawab beliau, “Tiada seorang pun dalam Bani Sulaim yang lebih miskin dari saya.”

Nabi bersabda kepada para sahabat, “Berikan kepadanya apa-apa yang kamu ada!”
Para sahabat memberikannya bantuan hinggakan dia mendapat harta yang amat banyak terkumpul. Kemudian Abdul Rahman bin Auf r.a berkata kepada Nabi, “Wahai Rasulullah!Saya memiliki seekor unta yang hamil 10 bulan, yang sederhana besarnya, saya perolehi dalam Perang Tabuk, sekarang saya hendak mendekatkan diri kepada Allah. Saya ingin menghadiahkannya kepada saudara baru kita ini!”


Nabi saw bersabda, “Engkau menceritakan tentang untamu yang engkau telah hadiahkan padanya, sekarang aku akan menceritakan bahagianmu yang diberikan Allah sebagai balasan di akhirat. Allah subhaanahu wata'ala akan menganugerahimu di akhirat unta yang diperbuat dari permata hijau, tengkuknya dari permata kuning memiliki pelana yang hebat dan ia akan melintasi titian sirat dengan pantas seperti kilat, semua orang akan merasa iri kepadamu pada Hari Qiyamat."


Kata Abdul Rahman, “ Saya redha dengannya wahai Nabi.”
Arab itu pun keluar dari kawasan itu. Sekonyong-konyong datang kaumnya dari Bani Sulaim seramai seribu orang menaiki seribu unta dan membawa bersama mereka seribu pedang dan lembing.


Dia bertanya, “Ke manakah haluan kamu? " Mereka menjawab, “Kami ingin memerangi orang yang menghina tuhan kita! Kata Arab Badwi itu kepada kaumnya, “Jangan! Aku sendiri telah beriman dengannya!” Lalu semua kaumnya beriman pada Rasulullah saw .Jangan marah-marah tapi berlemah-lembutlah. Kurangkan manis dalam minuman tapi tambahlah manis dalam senyuman.

Jom kita contohi da'wah dan akhlak Nabi Muhammad saw yang berkasih-sayang :))))

Wednesday 13 July 2011

Srikandi inspirasiku : Fatimah Az-Zahra


Terlalu banyak kemulian dan jasa  Fatimah r.ha binti Muhammad yang tidak termampu untuk dinukilkan semuanya. Beliaulah puteri kepada penutup segala Nabi yang banyak mewarisi keindahan akhlak ayahandanya.

Lahirnya Si Puteri Bongsu
            Saat Ummul Qura (Makkah) menyaksikan orang-orang Quraisy membaiki Kaabah, lahirlah puteri bongsu Rasulullah SAW. 5 tahun sebelum kenabian. Beliau sangat mirip dengan ayahandanya yang mulia. Disusui sendiri oleh bondanya. Tatkala masyarakat jahiliyah malu besar setiap kali menerima berita lahirnya anak perempuan, namun Rasulullah SAW sangat gembira dengan kelahiran puterinya. Mencintai dan menyayanginya dengan penuh tulus.

            Didikan di Rumah Kenabian
            Sekolahnya di rumah kenabian. Berguru langsung dengan penghulu segala murabbi, seorang Nabi. Daripada kecil sehinggalah menginjak remaja, beliau sentiasa menjadi yang terbaik. Sumber rujukannya adalah sumber yang terbaik. Ayahnya insan terbaik. Ibunya wanita terbaik. Mengalir daripada asuhan ibu bapa yang agung.

            “Ibu Ayahnya”
            Ketika masyarakat jahiliyah hidup dalam lumpur kejahatan yang hina, menyembah patung, mabuk arak, membunuh anak perempuan, namun Fatimah menyaksikan ayahnya tetap bersih terpelihara. Fitrah insan bencikan kejahatan. Apabila terbit sinar Islam menerangi tanah Arab dengan terutusnya Nabi akhir zaman, maka Fatimah tidak teragak-agak menyertai ibunya untuk menjadi generasi yang pertama beriman.
Kewafatan bonda tercinta, Khadijah al-Khuwailid, menyebabkan remaja puteri itu berperanan mengambil alih tugas ibunya. Apatah lagi kakak-kakaknya Zainab, Ruqayyah dan Ummu Kalthum sudah berumah-tangga. Perjuangan ayahnya didokong habis-habisan. Kematangannya terserlah hinggakan para sahabat menggelarkannya, “Ibu ayahnya.” (Rujuk Nisaa ahlil bait, 533-534).
Imam Zarqani berkata, “Sehingga, tidak diperlukan pernyataan khusus untuk membuktikan bahawa mereka adalah generasi pertama yang memeluk Islam, kerana mereka tumbuh dalam bimbingan kedua orang tua yang penuh kasih sayang dan akhlak mulia. Dari ayahnya, Fatimah belajar semua akhlak mulia. Dari ibunya, Fatimah belajar kejernihan fikiran yang tidak dimiliki wanita lain.”

Berani Membela Nabi
Ibnu Ishaq berkata, “Orang-orang Quraisy benar-benar memusuhi Rasulullah dan orang-orang yang memeluk Islam. Mereka tidak henti-henti mendustakan Rasulullah, mengganggu dan melemparinya dengan batu. Mereka juga mengejek baginda sebagai tukang sihir, bomoh dan orang gila. Namun Rasulullah tetap menyebarkan kebenaran.” (Rujuk Sirah Ibnu Hisyam 1/238).
Abdullah bin Umar berkata, “Ketika Rasulullah SAW berada di halaman Kaabah, Uqbah bin Abu Mu’ith mendekati dan menarik bahu Rasullah SAW. Dicekik leher Rasulullah SAW dengan selendangnya. Abu Bakar datang lalu menarik bahu Uqbah supaya ia menjauh daripada Rasulullah SAW.” (Rujuk HR Bukhari, 3856).
Saidina Ali r.a. berkata, “Demi Allah tidak seorang pun dari kami yang berani mendekat kecuali Abu Bakar. Beliau menghalau orang-orang Quraisy itu dan menjauhkan daripada Baginda. (Rujuk Ghafir: 28).
Selain Saidina Abu Bakar r.a., Fatimah r.ha. tidak berpeluk tubuh tatkala melihat ayahnya diganggu dan dianiaya. Suatu kisah menyayat hati diceritakan oleh Abdullah Ibnu Mas’ud, saat Rasulullah SAW sedang solat berdekatan Kaabah, Abu Jahal dan teman-temannya duduk berhampiran. Mereka saling mencabar,
“Siapa yang berani meletakkan najis unta di punggung Muhammad saat dia sujud?” Maka bergegaslah orang yang paling sengsara di antara mereka iaitu Uqbah bin Abu Mu’ith. (Rujuk Bukhari, 3186 dan Muslim 1794.)
Mereka ketawa berdekah-dekah. Rasulullah SAW tetap bersujud. Tiada siapa berani membela  saat itu sehinggalah Fatimah r.ha. dengan beraninya datang membuang najis unta. 

            Rela Menahan Lapar, Iman Tidak Pudar
            Tragedi pemulauan kaum muslimin amat menguji iman. Ketika itu kebencian kaum kafir Quraisy terhadap Rasulullah SAW kian memuncak. Sejarawan Suhaili merekodkan: 
Jika ada rombongan pedagang datang ke Kota Makkah, beberapa orang Islam pergi ke pasar Makkah untuk membeli makanan buat ahli keluarga mereka. Namun Abu Lahab berkata dengan suara lantang, 
“Wahai para pedagang, jika teman-teman Muhammad ingin membeli sesuatu, berikan harga yang sangat mahal agar mereka tidak dapat membelinya. Jangan takut tidak laku, aku yang akan membeli barang dagangan kalian.”
Lalu para pedagang itu menaikkan harga sangat tinggi. Orang-orang Islam pun tidak mampu membeli. Mereka tidak memperolehi makanan dan pakaian.
            3 tahun orang-orang Islam melalui hari-hari yang penuh kelaparan di perbukitan. Fatimah r.ha. sabar dan teguh melalui kesulitan tempoh itu. Namun, parahnya ujian kelaparan membuatkan Fatimah r.ha jatuh sakit. Bondanya juga tenat menahan sakit.
            Sakit Fatimah belum pulih, bondanya pula dijemput Ilahi. Kesedihan bertali arus. Gadis tabah itu tidak tenggelam dalam emosi. Beliau menggagahkan diri untuk terus bangkit mendokong perjuangan ayahanda tercinta habis-habisan.

            Mengagumi Keberanian Ali r.a.
            Penyiksaan demi penyiksaan makin tidak kenal belas kasihan. Selepas beberapa siri penghijrahan, akhirnya Rasulullah SAW memerintahkan kaum muslimin berhijrah ke Madinah. Baginda menyusul kemudian, ditemani oleh Saidina Abu Bakar r.a.  Peristiwa hijrah yang agung itu diatur dengan penuh strategi.
Fatimah r.ha tidak dapat melupakan keberanian Saidina Ali r.a. menggantikan tempat tidur ayahandanya. Peranan yang sangat penting dalam strategi hijrah kerana taruhannya adalah nyawa. Allah SWT juga tidak melupakan keberanian Saidina Ali r.a. menggantikan tempat tidur Nabi hingga menganugerahkan Fatimah r.ha. sebagai teman tidur hidupnya. Alangkah bertuahnya Ali.

                Pernikahan yang Barakah
            Di dalam buku Raudhatul Muhibbin wanuzhatul Musytaqin, karangan Ibnul Qayyim al-Jauziyah menyebut, puteri Nabi, Fatimah az-Zahra pernah dipinang oleh Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar namun kedua-duanya ditolak oleh Rasulullah SAW. Kenapa ya? Rupa-rupanya, Rasulullah SAW tidak mahu semua puterinya dimadukan.
            Pada tahun ke-2 hijrah, Saidina Ali r.a. menikahi Fatimah r.ha. Pernikahan barakah ini berlangsung setelah perang Badar. Demi memiliki cinta penghulu bidadari syurga, Saidina Ali r.a. menjual sebahagian barang miliknya termasuk peralatan perang. Semuanya bernilai  480 dirham.
Daripada jumlah itu, Rasulullah menyuruh menggunakan 2/3 daripadanya untuk membeli wangi-wangian dan 1/3 daripadanya untuk membeli pakaian. Rasulullah memasukkan wangi-wangian itu ke dalam bekas mandi dan menyuruh pengantin mandi dengan air itu.
            Fatimah r.ha rela malah bahagia dinikahi oleh Saidina Ali r.a. meskipun  hidup miskin. Biarpun maharnya rendah, dihadiahkan pula mahar itu kepada suami tercinta. Berpindahlah pengantin baru ke rumah suaminya yang tidak memiliki perabot.  Rumah yang sangat sederhana. Hanya terdapat kulit biri-biri sebagai alas tidur, bantal berisi serabut tamar, penggiling gandum, ayakan dan sekantung susu. Letak rumah itu pula jauh daripada rumah Rasulullah SAW. (Rujuk Nisa’ Mubassirat bil Jannah: 209).
Rasulullah SAW berperanan sebagai mentua terbaik apabila memberikan nasihat yang panjang sebelum meninggalkan anak menantunya mengharungi bahtera rumah tangga bersama. Didekatkan pula anak menantu dengan keluarga baginda apabila memindahkan mereka berdekatan dengan rumah baginda iaitu di salah sebuah rumah pemberian Haritsah r.a. (Rujuk Suwar min hayatis sahabah, 40)
Rumah tangga suaminya diuruskan sendiri. Terserlah peribadinya sebagai seorang wanita yang sabar, taat beragama, baik, menjaga kehormatan, qana’ah dan sentiasa bersyukur kepada Allah SWT. (Rujuk al-Siyar: 2/119).

Zikir Fatimah
Kelelahan menguruskan tugas rumah tangga seharian, mendidik anak-anak, ditambah pula dengan tugas-tugas dakwah menyebabkan Fatimah r.ha teringin mempunyai seorang pembantu. Lagipun, kebetulan pada masa itu Islam mempunyai banyak tawanan perang.
Kelelahan Fatimah r.ha. bukan sedikit. Jika pada zaman ini, kita hanya perlu ke kedai untuk membeli sebuku roti namun Fatimah r.ha. perlu menggilingnya daripada biji-biji gandum, mengayak, mengadun dan membakarnya sendiri.
Dipendamkan dahulu niat memiliki pembantu biarpun beberapa kali menziarahi Rasulullah SAW kerana sangat pemalu untuk meminta daripada ayahandanya. Begitu juga suaminya. Namun lantaran berat beban ditanggung, Fatimah r.ha terpaksa meluahkan keperluannya itu pada suatu hari. 
Kebetulan, kaum muslimin mempunyai beberapa orang tawanan perang yang boleh dijadikan hamba atau pembantu. Fatimah r.ha memohon salah seorang daripadanya. Permintaan itu tidak dikabulkan oleh Rasulullah.
Hal ini bukan kerana tidak elok memiliki pembantu rumah kerana semua isteri Rasulullahpun mempunyai pembantu rumah. Namun, selaku pemimpin yang adil, Rasulullah SAW lebih mengutamakan untuk memberi makan kepada golongan suffah (golongan merempat yang menumpang tinggal di masjid) dengan duit hasil jualan para tawanan tersebut. Fatimah r.ha. dan suaminya pulang dengan redha.
Tidak lama kemudian, Rasulullah SAW pula datang ke rumah puterinya. Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Baginda bersabda,
“Mahukah ayah ajarkan kepadamu sesuatu yang lebih baik daripada apa yang diminta? Jika hendak tidur, bacalah takbir 34 kali, tasbih 33 kali, tahmid 33 kali. Ini lebih baik daripada seorang pembantu.” Lalu, zikir ini terus menemani hayat Fatimah r.ha. Beliau dan suaminya memilih hidup zuhud dan sangat sederhana. (Rujuk Nisa’ Ahlil Bait: 550).

Membuktikan Wanita Berhak Mengizinkan atau Minta Dibebaskan Jika Suaminya Ingin Berpoligami
            Suatu hari Saidina Ali r.a. dipinang oleh Abu Jahal untuk puterinya. Hal itu amat menyakitkan Fatimah r.ha. Apabila diadukan kepada ayahandanya, ternyata Rasulullah SAW juga terasa disakiti dengan apa yang menyakitkan puterinya. Baginda berdiri lalu berpidato, “Aku telah nikahkan Abu Ash bin Rabi’. Dia berkata kepadaku dengan jujur. Fatimah binti Muhammad adalah sebahagian daripadaku. Aku tidak suka orang-orang menyakitinya. Demi Allah, tidak akan berkumpul puteri utusan Allah dengan puteri musuh Allah pada seorang lelaki.”
Mishwar bin Makhramah pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda di atas mimbar, “Bani Hasyim bin Mughirah memintaku merestui pernikahan  puteri mereka dengan Ali bin Abi Thalib.  Aku tidak izinkan, dan aku tidak izinkan. Kecuali jika Ali menceraikan puteriku dan menikahi puteri mereka. Puteriku adalah bahagian daripadaku. Apa yang membuatnya gelisah juga membuatku gelisah, dan apa yang menyakitinya juga menyakitiku.” (Rujuk HR Muslim, 2449). Maka Ali r.a. menolak pinangan Abu Jahal.
            Imam Nawawi berkata, dari hadis ini para ulama mengambil kesimpulan, “Tidak boleh menyakiti Rasulullah SAW walaupun pada perkara yang harus. Seperti peristiwa di atas, perkahwinan puteri Abu Jahal dengan Ali sebenarnya harus dilakukan tetapi Rasulullah SAW melarangnya dengan dua alasan: 1. Pernikahan itu akan menyakiti Fatimah, dan itu menyakiti Rasulullah. 2. Khawatir terjadi hal-hal yang tidak baik pada Fatimah yang timbul dari rasa cemburu.” (Rujuk Syarhun Nawawi: 16/4).
Imam Bukhari RA berkata (hadis 5230): Qutaibah meriwayatkan kepada kami dari Laits dari Ibnu Abi Mulaikah dari Miswar ibn Makhramah dia berkata, saya mendengarkan Rasulullah SAW bersabda dari atas mimbar, "Sesungguhnya Bani Hisyam ibn Mughirah meminta izin untuk menikahkan puteri mereka dengan Ali ibn Abu Talib, maka aku tidak mengizinkan, kemudian aku tidak mengizinkan, kemudian aku tidak mengizinkan. Kecuali putera Abu Talib ingin menceraikan puteriku dan menikah dengan puteri mereka. Kerana dia adalah darah dagingku, membuat aku sedih apa yang menyedihkannya dan menyakitiku apa yang menyakitinya."[1] 
Ulama-ulama memberikan beberapa tafsiran terhadap hadis ini sebagaimana dipetik dalam kitab syarah hadis Bukhari yang paling terkenal iaiatu Fathul Bari 86/7,  karangan Ibnu Hajar al-Asqalani. Antara tafsirannya ialah:
1.      Puteri Abu Jahal tidak layak bersama Fatimah dalam satu darjat sebagai madu.
2.      Difahami daripada konteks kisah ini Rasulullah telah mensyaratkan kepada Ali supaya tidak memadukan Fatimah r.ha. Rasulullah SAW menyebut menantunya yang lain telah menunaikan janji mereka. Jelas sekali bahawa menantu yang lain memenuhi satu syarat iaitu tidak memadukan puteri Rasulullah sebagaimana Rasulullah SAW bersabda, “Dia berkata kepadaku, dia jujur kepadaku, dia berjanji kepadaku maka dia memenuhi janjinya.” Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar, “Dia berkata kepadaku, dia jujur kepadaku.” Ia seperti syarat ke atas dirinya supaya tidak memadukan Zainab. Begitu juga Ali r.ha., jika dia tidak berbuat begitu juga (memenuhi syarat itu) ia mungkin lupa pada syarat itu, maka didatangkanlah dalam khutbah (untuk mengingatkannya). Ataupun mungkin tidak berlaku pun syarat seandainya tidak dijelaskan bahawa itu suatu syarat, tetapi menjadi kemestian ke atasnya meraikan ketetapan ini. Oleh sebab itulah berlakunya cercaan (ke atas kesalahannya supaya dibetulkan).
3.      Meraikan hak Fatimah r.ha. Dia ketiadaan ibu dan kakak sebagai tempat bergantung, penghilang kesedihan dan menjadi peneman. Dia kehilangan ibu kemudian kakak-kakaknya seorang demi seorang, dan tidak tinggal seorangpun yang dapat ia bermanja dan dapat menjadi peringan beban masalahnya jika nanti dia cemburu.
Realiti hari ini, masih wujudkah bapa sewibawa Rasulullah SAW dalam memahami dan membela rasa hati puterinya?

            Setiap Yang Berhak Boleh Menyuarakan Haknya
            Setelah kewafatan ayahandanya, Rasulullah SAW, Fatimah r.ha meminta daripada Abu Bakar r.a. sebahagian harta warisan Nabi.  Walaupun Rasulullah telah mengkhabarkan awal-awal kepadanya bahawa usianya paling dekat menyusuli kematian baginda namun hak tetap hak.  Fatimah masih menuntutnya walaupun tahu beliau sudah dekat hendak mati.
Abu Bakar menegaskan bahawa, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Kami para Nabi tidak mewariskan harta. Apa yang ditinggalkan adalah untuk disedekahkan.” (Rujuk HR Bukhari).
Abu Bakar berpegang dengan hujah ini. Manakala Fatimah juga mempunyai hujahnya yang tersendiri. Kedua-duanya  dalam daerah pahala kerana mempertahankan sesuatu dengan hujah yang benar bukan mengikut nafsu. Perbezaan pendapat itu lumrah. Fatimah al-Zahra tetap lantang menyuarakan haknya kepada Abu Bakar untuk mewarisi sebidang tanah.
            Ketika Fatimah r.ha jatuh sakit, tidak lama selepas kewafatan ayahandanya, Abu Bakar datang meminta redhanya sehingga Fatimah meredhainya. (Ibnu Hajar menyebutkan hadis ini  yang disandarkan ke Baihaqi yang berkata, “Meskipun hadis ini mursal, tapi sanadnya ke Sya’bi tetap sahih. (Fathul Bari: 6/139).”
            Teladan  kita ini menunjukkan  contoh bahawa walaupun dalam Islam, menunaikan tanggung jawab lebih utama daripada menuntut hak, tapi, itu tidak bermakna Islam menghalang menyuarakan hak. Maka, berlumba-lumbalah kita menunaikan tanggung jawab. Dalam masa yang sama, menghargai  hak kita dan menghormati sesiapa yang menuntut haknya.

Perginya Bunga Agama
            Pada hari Selasa, 3 Ramadhan tahun ke-11 Hijriah, selepas enam bulan kewafatan Rasulullah SAW, Fatimah r.ha pulang ke rahmatullah dengan tenang dan bahagia. Suaminya mengalirkan air mata. Begitu juga anak-anaknya yang amat mencintainya, Hassan, Hussain,  Zainab dan Ummu Kulthum. (Ada riwayat mengatakan puteri-puterinya bernama Zainab al-Kubra dan Zainab al-Asghar).
Umat Islam membanjiri Masjid Nabawi. Solat jenazah dipimpin oleh Saidina Ali r.a. dan kali kedua dipimpin oleh Abbas bin Abdul Mutallib r.a. Bunga agama itu lalu dimakamkan di perkuburan Baqi’ bersebelahan dengan makam saudara-saudaranya, Zainab r.a., Ruqayyah r.a. dan Ummu Kalthum r.a. (Rujuk Nisa’ Ahlul Bait: 601-603).




[1] Hadis sahih dan diriwayatkan oleh Imam Muslim (2449), Abu Daud (2071), Turmudzi, Ibnu Majah (1998), Nasa`i di dalam al-Fadhâ`il (265) dan di dalam al-Khashâ`ish (130), dan Imam Ahmad (4/328), dan di dalam kitab Fadhâ`il al-Sahabat (Keutamaan Sahabat) (1328).

Tuesday 12 July 2011

Mengapa Perempuan Perlu Jadi Muslimah Sejati? Jom Muhasabah

muslimah-sejati

Setiap perempuan pastinya ingin menjadi yang terbaik. Namun, seperti bagaimana ingin menjadi yang terbaik? Walau zahir mereka nampak kabur namun jauh di lubuk hati mereka ingin berubah. Mereka tidak pinta mereka kabur namun hati mereka tidak kukuh untuk melangkah keluar daripada zon selesa yang sedia ada. Apetah lagi, tiada dorongan yang kuat daripada sekeliling membuatkan mereka hanya membiarkan niat itu usang di dalam hati tanpa diekspresikan melalui amalan.
Rasulullah SAW sendiri sangat berhati-hati dalam mencari kawan. Jika baik sahabatnya, baiklah juga dirinya dan sebaliknya. Suasana sekeliling itu sangat penting pada diri seseorang dalam proses untuk dia berhijrah ke jalan Allah.


"Sesungguhnya agama seseorang itu begantung kepda agama ( cara hidup) sahabatnya "
Oleh sebab itu, kita digalakkan agar berada dalam sekeliling yang baik dan membantu dalam penghijrahan kita ke jalan-Nya. Jika tidak, melesetlah hidup kita kerana mereka. Bukanlah bermaksud kita patut menjauhkan sahabat yang kurang baik tetapi kita digalakkan untuk mencari sahabat yang baik di sampung menjadi sahabat yang baik terlebih dahulu terutamanya untuk sesiapa yang mula ingin mencari nafas baru ke alam kehidupannya yang baru untuk berhijrah di bumi Jihad hanya kerana Allah.
Namun masih, perempuan yang kabur zahirnya terus mengaburkan hatinya sedangkan Allah telahpun membuka hatinya untuk menerima hidayah. Mereka tidak berusaha untuk mengekspresikan apa yang ingin diubah kepada amalan. Kerap kali sahaja mereka dinasihatkan untuk berubah ke arah kebaikan namun mereka terus menerus mengabaikannya sekaligus menutupkan pintu hati mereka daripada menerima hidayah Allah.
“Beruntunglah mereka yang ditegur demi kebaikan yang tidak mereka lihat. Allah telah menghantar seseorang untuk menegur, moga dengan itu jika dia menerima teguran, Allah akan lapangkan dadanya dan masukkan taufiq dan hidayahNya. Ada pun yang berpaling dari teguran dan kemudian memarahi orang yang menegurnya, dikhuatiri Allah menggelapkan hatinya yang sudah hampir mati.”
Tahukah anda? Kerana perempuanlah lelaki boleh masuk Neraka. Perempuan juga sangat berkuasa kerana menjadi fitnah kepada dunia. Oleh sebab kekuasaannya itulah mereka dapat memasukkan lelaki ke dalam Neraka. Terdapat 4 golongan lelaki yang masuk Neraka kerana perempuan:
1. Ayah
Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik oleh anaknya.


2. Suami
Apabila seorang suami tidak mempedulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram, apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim (solat tidak tangguh, puasa tidak tinggal) maka dia akan ditarik oleh isterinya.


3. Abang
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke pula abang-abangnya jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran Islam, tunggulah tarikan adiknya di Akhirat.


4. Anak Lelaki
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di Akhirat kelak nantikan tarikan ibunya.
Wahai anak perempuan,
Tidakkah dikau mengasihani ayahmu. Dia penat bekerja untuk memberi nafkah. Dia besarkan dikau dengan sebaiknya. Dia korbankan penat-lelahnya untuk besarkan dikau. Mungkin juga ayah tidak menekankan dikau dengan ajaran agama tetapi tidak mahukah dikau berubah untuk selamatkan ayahmu di Neraka. Dia juga bukan ahli maksum tanpa dosa tetapi dia juga melakukan dosa. Malahan dia tidak sendiri tidak dapat menampung dosanya yang tersedia ada.
“Selangkah anak perempuan keluar dari rumah tanpa menutup aurat, maka selangkah juga ayahnya itu hampir ke Neraka. Selangkah seorang isteri keluar rumah tanpa menutup aurat, maka selangkah juga suaminya itu hampir ke Neraka.”
Haruskah dikau menyalahkan ayah semata-mata kerana dia tidak memberi penekanan yang tegas kepadamu sebagai seorang perempuan? Adakah dikau tidak menyayangi ayahmu? Sanggupkah dikau biarkan ayahmu masuk Neraka HANYA KERANAMU?Mengapa tidak mahu dikau sendiri yang berubah kerana dikau ingin menjaga ayah daripada ditarik ke Neraka?
Sungguh dikau SANGAT KEJAM kerana dikau sengaja biarkan ayahmu ditarik ke dalam Neraka. Dia ayahmu, dia ayahmu, dia ayahmu. Selangkah ayahmu ingin masuk ke Syurga dikau tarik dia ke Neraka. Selangkah lagi ayah menuju ke Syurga dikau tarik dia ke Neraka. Kasihanilah ayahmu.
Mungkin dia tidak tegas dalam penekanan didikan agama ke dalam dirimu tetapi sanggupkah dikau biarkan ayah masuk Neraka??
Tidakkah dikau sayang dan kasihkan ayahmu??
Sanggupkah dikau biarkan ayah di Neraka sendirian HANYA KERANAMU??
Dia ayahmu. Ayah yang membesarkanmu. Dia didik dikau bagai menatang minyak yang penuh tetapi di Akhirat nanti, dikau biarkan dia di Neraka. Dikau persalahkan dia kerana kurangnya didikan agama. Sanggupkah dikau?

Wahai isteri,
Suamimu adalah lelaki yang dikau cintai. Dia adalah suami yang dikau telah kahwini. Dialah yang memberimu nafkah, mendidik anak-anak. Dialah yang bersamamu tika dikau susah. Dialah yang memberi kegembiraan ke dalam dirimu tika dikau sedih. Dialah pendorong untuk dikau tabah dan sabar dengan segala kesusahan. Dia penat bekerja mencari nafkah untukmu dan anak-anakmu.
Sanggupkah dikau membiarkan dia ditarik ke Neraka HANYA KERANAMU??
Sanggupkah dikau biarkan suami yang dikau cintai ke Neraka HANYA KERANAMU??
Sungguh biarpun dia diam dengan dirimu, namun tidak mahukah dikau berubah untuk menjaganya daripada ditarik ke Neraka di Akhirat kelak?? Dia sendiri tidak mampu menampung dosanya, apetah lagi dosamu. Tidakkah dikau rasa bersalah, setiap kali dikau melangkah keluar dengan penutupan aurat yang kurang, dikau telah MENAMBAH dosanya untuk menempah tiket ke Neraka.

Wahai adik perempuan,
Abangmu adalah lelaki yang bakal menggantikan ayahmu. Dialah yang akan menjadi pengganti ayahmu mencari nafkah demi keluarga. Dialah yang akan berpenat lelah untuk mencari nafkah. Dia adalah tempat untuk kau mengadu masalah yang pernah kau adukan pada ayah pada suatu masa dahulu. Tetapi apabila ayah tiada, dialah yang menjadi penggantinya.
Sanggupkah dikau biarkan abang yang berpenat lelah mengganti ayah mencari nafkah ditarik ke Neraka HANYA KERANAMU??
Sanggupkah dikau biarkan abang yang memanjakanmu ditarik ke Neraka HANYA KERANAMU??
Sanggupkah dikau biarkan abang yang menjadi tempat kau adu ditarik ke Neraka HANYA KERANAMU??
Sungguh biarpun abang diam dan tidak menegur perilaku dirimu, namun tidak mahukah dikau berubah untuk menjaganya daripada ditarik ke Neraka di Akhirat kelak?? Dia sendiri tidak mampu menampung dosanya, apetah lagi dosamu. Tidakkah dikau rasa bersalah, setiap kali dikau melangkah keluar dengan penutupan aurat yang kurang, dikau telah MENAMBAH dosanya untuk menempah tiket ke Neraka.

Wahai ibu,
Anak lelakimu adalah darah dagingmu. Ibu pasti sayang anak lelakimu kerana dialah darah dagingmu yang dikau lahirkan, yang dikau belai ketika kecil, yang dikau suapkan makan, yang dikau berikan keperluan tika dia perlukan. Ibu, dia anakmu. Ibu pasti sayang dia dengan perasaan sangat dalam.
Sanggupkah dikau biarkan anak lelakimu yang merupakan anakmu yang sangat disayangi ditarik ke Neraka HANYA KERANAMU??
Sanggupkah dikau biarkan anak lelaki yang dikau lahirkan, suapkan makan dan berikan keperluan, ditarik ke Neraka HANYA KERANAMU??
Sungguh biarpun dia diam dan tidak menegur  perilaku dirimu, namun tidak mahukah dikau berubah untuk menjaganya daripada ditarik ke Neraka di Akhirat kelak?? Dia sendiri tidak mampu menampung dosanya, apetah lagi dosamu. Tidakkah dikau rasa bersalah, setiap kali dikau melangkah keluar dengan penutupan aurat yang kurang, dikau telah MENAMBAH dosanya untuk menempah tiket ke Neraka.
Sanggupkah kita membiarkan mereka ditarik ke Neraka HANYA KERANAMU wahai perempuan? Mengapa tidak kita berubah, berusaha menjadi muslimah sejati agar mereka dapat diselamatkan daripada ditarik ke Neraka.
Marilah kita berubah daripada perempuan kepada muslimah sejati agar 4 golongan lelaki ini tidak menjadi mangsa tarikan kita ke Neraka HANYA KERANA PEREMPUAN. Mereka bukanlah ahli maksum yang terpelihara daripada dosa tetapi mereka juga melakukan dosa. Namun jika dosa mereka tidak mampu mereka tampung, apetah lagi, menampung dosa kita.

Ciri-ciri Muslimah Sejati
  1. Solat tepat waktu
  2. Banyak amalan sunat dan bibir basah dengan zikir.
  3. Butir bicaranya terselit dengan kalimah seperti bismillah, alhamdulillah, insyaALLAH, subhanallah, Allahuakhbar dan lain-lain zikir.
  4. Tidak mengeluh dengan masalah remeh kehidupan hariannya.
  5. Bercakap dengan rendah suara.
  6. Lembut dan halus tingkahlakunya.
  7. Tuturbicara yang senang didengar tanpa kata lucah atau sumpah seranah.
  8. Pakaian longgar tanpa mendedahkan bentuk tubuh.
  9. Rambut, leher dada yang sentiasa ditutup dan dijaga dari pandangan lelaki bukan muhrim dan mereka bukan Islam.
  10. Sukakan kanak-kanak dan kanak-kanak menyukainya.
  11. Pandai mengambil hati orang tua.
  12. Menghormati dan taat ibubapa.
  13. Kesayangan keluarga dan tetangga.
  14. Contoh kepada adik-adik dan mencontohi orang tua.
  15. Berkuku pendek sentiasa bagi menyempurnakan wudhu.
  16. Rambut tak diwarnakan.
  17. Banyak dan murah dengan senyuman.
  18. Banyak mendengar dari bercakap.
  19. Senyuman adalah ketawanya.
  20. Tidak ketawa terbahak-bahak.
  21. Suaranya tidak lantang dan jarang didengari oleh lelaki bukan muhrim.
  22. Tidak suka bersiar-siar atau keluar rumah tanpa urusan penting bagi mengelakkan fitnah.
  23. Menjauhi kumpulan yang sedang mengumpat dan mengeji supaya tidak dikira bersubahat.
  24. Tidak menghebohkan kedukaan hatinya dan menyembunyikan kesedihannya.
  25. Menerima dugaan sebagai ujian ALLAH dan kafarah dosanya.
  26. Sentiasa berdoa baik untuk keluarga, orang lain dan juga untuk orang yang menganiayanya.
  27. Pandai bergaul dengan semua orang tanpa mengira tahap pendidikan dan taraf.
  28. Tidak boros dalam berbelanja dan pandai menguruskan kewangannya.
  29. Berhati-hati dengan apa yang dimakannya dan menjauhi makanan syubhah.
  30. Sayangkan dan kasihan binatang peliharaan seperti kucing, arnab, burung, ikan dan lain-lain.
  31. Suka kepada alam sekitar, suka berkebun dan bunga.
  32. Menitik-beratkan aurat yang dianggap remeh seperti tumit kaki, kaki, siku dan lengan. Caranya dengan memakai sarung tangan dan sarung kaki.

Jangan hanya keranamu,  ayah, suami, abang dan anak lelakimu jadi tarikan ke Neraka kelak, sendirian di Neraka
HANYA KERANA DOSAMU
oleh sebab  hidayah Allah yang telah kau abaikan.