Sunday 27 May 2012

Bolehkah Melarang Wanita ke Majlis Imu atau Menyampaikan Ilmu?


Wanita, jom cantikkan diri dengan ilmu

 
  
Adakah anda seorang wanita yang suka menuntut ilmu?
Adakah anda seorang wanita yang terpaut ke masjid ketika tiada kerja rumah atau anak-anak kecil yang lebih memerlukan komitmen anda?
Adakah anda seorang pendakwah wanita?
Adakah anda ingin menjadi pendakwah wanita?
Adakah anda sering dicerca sesetengah masyarakat kerana mencari ilmu dan menyampaikan ilmu, hanya kerana anda seorang wanita? 

Saya juga wanita. Saya rasa terbela dengan pencerahan al-Qaradhawi yang sangat jernih fikrahnya. Moga anda juga terpujuk sama. 

                Dr. Yusuf al-Qaradhawi pernah ditanya; 

“Adakah suami berhak melarang isterinya ke pengajian agama?”

                Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjawab:

                “Banyak kerosakan yang dilakukan oleh kaum muslimin yang ke-Islamannya daripada warisan semata-mata. Di antara kerosakan itu ialah:
  • Mencampur adukkan pemikiran dan perasaan peribadi ke dalam ajaran Islam.
  • Menyangka seseorang yang berhati keras, kaku dalam berinteraksi sosial samada dalam keluarga atau masyarakat, itulah yang dianggap ajaran Islam.
  • Menyangka seseorang yang berhati sempit, suka mengata orang dan sukakan permusuhan, itulah yang dianggap ajaran Islam.
  •  Pandangan sempit seorang lelaki terhadap wanita. Lalu menghasilkan sikap keras, anti toleransi, mudah berprasangka buruk dan merendah-rendahkan wanita. Lelaki itu juga memandang wanita hanya sebagai alat pemuas nafsu dan pelayan kaum lelaki sahaja.

Ironinya…

  •  Sumber-sumber literatur Islam yang mereka baca belum mampu mengubah cara pandang mereka.
  • Pergaulan mereka dari satu lingkungan ke lingkungan yang lain, belum juga mampu membawa akal mereka kepada pencerahan.
  • Mereka mungkin telah menyelesaikan program ‘master ‘dan doktor falsafah dalam pelbagai disiplin ilmu, tetapi semua itu masih tidak mampu membawa mereka kepada kesedaran dan kemajuan.
  • Mereka masih tidak mengetahui betapa agama Islam sangat memuliakan wanita, sebagai anak perempuan, isteri, ibu dan sebahagian dari anggota masyarakat.”

Allah SWT menjelaskan secara tersirat bahawa wanita bukan makhluk ‘double standard’, tetapi makhluk yang melengkapi kekurangan lelaki, sebagaimana lelaki diciptakan untuk melengkapi kekurangan wanita. Masing-masing unik dan istimewa.
·         فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّي لا أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِنْكُمْ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى بَعْضُكُمْ مِنْ بَعْضٍ فَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَأُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ وَأُوذُوا فِي سَبِيلِي وَقَاتَلُوا وَقُتِلُوا لأكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلأدْخِلَنَّهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ ثَوَابًا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الثَّوَابِ (١٩٥)
195. Maka Tuhan (Allah SWT.) mereka mengabulkan permohonannya (dengan berfirman): “Sesungguhnya aku (Allah SWT.) tidak menyia-nyiakan amal (perbuatan) orang-orang yang beramal di antara kamu sekalian, baik laki-laki maupun perempuan, (karena) sebagian kamu adalah turunan dari sebagian yang lain….”.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata lagi, “ Makna firman-Nya yang bermaksud “…sebagian kamu adalah turunan dari sebagian yang lain” adalah…
·         Lelaki sebahagian daripada wanita dan wanita sebahagian dari lelaki.
·         Satu sama lainnya saling melengkapi dan saling menyempurnakan.
·         Wanita tidak boleh hidup tanpa lelaki dan lelaki tidak boleh hidup tanpa wanita.
·         Kedua-duanya sama di mata syariat.

Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah, ayat 71:

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Rasulullah SAW bersabda, “Wanita itu adalah belahan kaum lelaki.” (HR Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi, Ad-Daruquthni).

Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kalian melarang wanita-wanita Allah dari masjid-masjid-Nya.” (HR Al-Bukhari).

Persoalan??? 
Berhakkah kita sebagai anggota masyarakat melarang wanita keluar rumah untuk belajar agama dengan mengumpat dan mencaci-maki mereka?
Berhakkah kita melarang pendakwah wanita  keluar rumah untuk mengajar agama?

DICERAIKAN NABI NAMUN DIBELA JIBRIL.



HAFSAH BINTI UMAR:
DICERAIKAN NABI NAMUN DIBELA JIBRIL.

            Siapakah Hafsah binti Umar?
  1. Beliau adalah puteri Umar al-Khattab, sahabat Nabi yang terkemuka.
  2. Bondanya ialah Zainab binti Mazh’un, saudara perempuan kepada sahabat Nabi, Ustman bin Mazh’un yang merupakan insan pertama yang dimakamkan di Baqi’.
  3.  Anak saudara kepada Zaid bin Khattab, seorang yang syahid dalam Perang Yamamah.
  4.  Ibu saudaranya ialah Fatimah binti Khattab, yang merupakan salah seorang sahabat pertama masuk Islam, isteri kepada Sai’d in Zaid yang dijamin syurga.
  5. Abang Hafsah ialah Abdullah bin Umar yang dipuji Rasulullah SAW sebagai seorang yang soleh (Rujuk riwayat Bukhari, no.3741, kitab Al-Manaaqib, Muslim, no.2478, kitab Fadhailus sahabah). 
Kelahiran Penuh Berkat

            Ketika penduduk Quraisy kecoh dengan banjir besar yang menimpa Kaabah, sehingga berlaku ketegangan dalam meletakkan kembali Hajarul Aswad, Rasulullah SAW hadir dengan penuh wibawa menjadi hakimnya. Peristiwa ini berlaku lima tahun sebelum kenabian. Sekitar peristiwa itulah, Hafsah  lahir di tengah keluarga yang penuh kemuliaan.
            Sejak kecil, beliau menekuni ilmu sastera. Tekun belajar membaca dan menulis daripada Syifa’ binti Abdullah Al-Quraisyiyah Al-A’dawiyah. Kesungguhannya menjadikan dirinya antara wanita Quraisy yang paling fasih berbicara, bersenikan sastera indah.
            Keislaman ayahandanya, Umar membawa berkat yang besar kepada seluruh umat Islam apatah lagi di dalam keluarganya. Abdullah bin Mas’ud berkata, “Kami tidak dapat solat di depan Kaabah kecuali setelah Islamnya Umar.” (Riwayat Ibnu Saad, vol.1, hlm. 270, dan Hakim, vol.3 hlm. 83-84). Hafsah membesar di bawah didikan salah seorang sahabat kesayangan Nabi itu.

Bersatu Cinta Dengan Khunais

            Khunais bin Hudzafah r.a. (saudara Abdullah bin Hudzafah r.a.) merupakan salah seorang sahabat pertama yang masuk Islam. Keislamanya bermula sebelum Rasulullah SAW menjadikan rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam sebagai markaz gerakan Islam lagi. Abu Bakar as-Sidiq yang menjadi menara hidayah buatnya.
Khunais meminang Hafsah yang sedang mekar meniti usia remaja. Umar menerima baik lamaran ke atas puterinya. Hafsah juga senang dengannya. Cinta Hafsah dan Khunais lalu bersatu. Mereka hidup bahagia dengan kejelasan iman dan ubudiyah kepada Allah SWT.

            Hijrah Bersama

Penentangan musyrikin Makkah semakin menggila. Kekejaman berlaku di mana-mana. Suami Hafsah terpaksa ikut berhijrah ke Habsyah. Namun, hatinya tetap di Makkah.
Si suami kembali ke Makkah, membawa isteri tercinta hijrah ke Madinah, menyahut  saranan Rasulullah SAW. Mereka hidup lebih tenang di samping golongan Ansar yang sangat penolong sifatnya.

            Terpisah Dua Jiwa

Dakwah Islam menuntut pengorbanan. Panggilan jihad di medan Badar menguji keimanan. Hafsah dengan rela hati meneguhkan perwiranya agar menyahut seruan itu. Di minda Khunais, syahid menjadi cita-cita teragung.
Pahlawan Badar itu berperang gagah. Seiring doa Hafsah. Biarpun mata pedang membelasah tubuhnya di sana-sini, undur tidak sekali. Khunais terus setia bertempur sehingga Islam mengangkat panji kemenangan.
Hafsah ternanti-nanti kepulangan perwiranya. Syukur kerana suaminya kembali. Namun, pulangnya Khunais dengan kecederaan parah. Hayatnya tidak lama. Rasulullah SAW menguburkan suaminya di Baqi’, berdampingan dengan kubur Ustman bin Mazh’un.
Hafsah reda dalam tangis kesedihan. Usianya yang masih muda, sekitar 18-20 tahun, menjadikan pemergian kekasih hati itu suatu ujian yang menyakitkan. Tabah Hafsah menerima ketentuan. Ramai insan bersimpati terutamanya Umar, ayahanda Hafsah.

Dianugerahi Suami yang Jauh Lebih Baik

Sebak jiwa Umar melihat puterinya sering dirundung pilu. Sebagai ayah, dia tidak mahu kematian Khunais turut mematikan keceriaan Hafsah. Umar tekad mencari pengganti.
Umar menawarkan Hafsah kepada Abu Bakar. Abu Bakar tidak memberikan jawapan. Hanya berdiam diri. Dari riak wajahnya, Umar tahu Abu Bakar keberatan.  Abu Bakar bukan tidak bersimpati kepada Hafsah namun beliau sebenarnya sedang menjaga rahsia Rasulullah yang berniat untuk menikahi Hafsah. (Rujuk HR Bukhari, no. 5122).
Umar tidak berputus asa. Umar menawarkan pula Hafsah kepada Usman namun Usman menolak.
“Saya belum bersedia berkahwin buat masa sekarang,” kata Usman. Usman merupakan seorang lelaki yang setia hanya kepada seorang isteri. Isteri Usman, Ruqayyah merupakan puteri Rasulullah. Rasulullah SAW tidak rela semua menantunya memadukan puteri-puteri baginda selagi hayatnya dikandung badan. (Rujuk hadis sahih riwayat Bukhari).Demikian kasih ayah bergelar Rasulullah SAW yang cukup memahami betapa berisikonya hidup bermadu yang boleh membawa agama seseorang wanita kepada fitnah atau ujian. Tidak hairanlah dalam Islam, poligami itu cuma rukhsah apabila ada keperluan mendesak bukannya galakan agama. Apabila Ruqayyah meninggal, Usman masih rela keseorangan.
Umar lalu mengadukan kesedihannya kepada Rasulullah. Rasulullah SAW lalu menghiburkannya, “Hafsah akan bernikah dengan orang yang lebih baik daripada Ustman. Manakala Ustman akan bernikah dengan wanita yang lebih baik daripada Hafsah.”
Tidak lama kemudian, Hafsah dipinang oleh Rasulullah SAW. Umar lalu menikahkan puterinya dengan penuh rasa gembira. (Riwayat Bukhari, vol. 9, hlm. 102-103). Sementara itu, Rasulullah SAW menikahkan Ustman dengan puterinya Ummu Kultsum, bagi merawat kesedihannya yang ditinggal Ruqayyah.
Hafsah dimuliakan sebagai ummul mukminin pada tahun ke-3 hijriah, sebelum Perang Uhud. Rasulullah SAW memberikannya mahar sebanyak 400 dirham. Kesedihan Hafsah pantas terubat kerana digantikan Allah dengan anugerah suami terbaik di dunia. Itulah ganjaran bagi insan yang tabah mengharungi ujian hidup.

Kreatif dan Penuh Idea dalam Persaingan Merebut Cinta Suami

Allah SWT menegaskan di dalam Al-Quran, Surah al-Nisa’ ayat 129, tiada seorangpun yang mampu berlaku adil dalam soal cinta. Fitrah cinta, ingin diberi perhatian. Hafsah juga begitu.                     
Rasulullah SAW sangat adil dalam gilirannya dan nafkah zahir. Namun, sebagai manusia biasa, Hafsah tahu cinta Rasulullah SAW amat cenderung kepada Aisyah selepas Khadijah. Hafsah lalu merapati Aisyah dalam strategi merebut cinta suami. Apatah lagi, beliau dan Aisyah sama-sama masih muda dan otak penuh idea.
Hafsah dan Aisyah pernah berpakat untuk mengurangkan masa Rasulullah di rumah Zainab binti Jahsy. Hidangan madu di rumah Zainab binti Jahsy membuatkan mereka berasa cemburu. Diatur rencana apabila Rasulullah masuk ke rumah salah seorang daripada mereka, mereka akan berkata kepada Rasulullah bahawa bau mulut baginda seperti bau maghafiir (sejenis makanan berbau tidak enak). (Rujuk lanjut HR Bukhari, no. 4912 dan muttafaq a’laih).
Hafsah juga pernah membuka rahsia Rasulullah SAW kepada Aisyah kerana kecemburuaannya melihat Rasulullah  SAW sukakan seorang hamba bernama Mariah al-Qibtiyah dan kerap menggaulinya.
Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya memenangi hati isteri-isterinya. Ia suatu perkara yang amat sukar. Dalam kelembutan sikap, Nabi tetap berkerja keras untuk sebuah keadilan. 
Tatkala cemburu yang fitrah sudah bertukar menjadi fitnah atau ujian, Allah menegur pakatan-pakatan isteri-isteri baginda itu di dalam Surah at-Tahrim. Demikian pedihnya cemburu hinggakan wanita paling berimanpun sukar menguruskannya hingga mendapat ugutan langsung daripada Allah SWT. Kisah mereka ini Allah akan terus dedahkan hingga akhir zaman kerana ia terakam di dalam al-Quran. Semoga kita mengambil pengajaran.

Cinta Teruji

Kreativiti Hafsah yang berusaha keras menyenangkan suaminya sudah bertukar menjadi perkara yang menyusahkan Nabi. Bagi Nabi, Hafsah perlu diberi pengajaran. Baginda telah menceraikan Hafsah talak satu. Dunia bagaikan gelap gelita bagi Hafsah. Diceraikan suami bergelar Nabi memang menyiksakan batinnya.
Allah menunjukkan bukti Dialah kekasih paling memahami. Dia memahami jiwa Hafsah. Memahami kesedihannya. Memahami setiap rahsia hatinya. Allah seakan mengiktiraf perbuatannya bukan berniat jahat, cuma ingin dicintai oleh seorang suami. Tagihkan perhatian. 
Apakan daya, Nabi sudahpun berlaku adil dalam soal giliran namun tidak mampu berlaku adil dalam soal cinta. Para ulama antaranya Syeikh Muhammad Abduh mengatakan ayat-ayat poligami di dalam al-Quran berbentuk ancaman (tarhib)atau peringatan, bukannya galakan (targhib).
Lalu, Allah menghantarkan Jibril untuk mengangkat kembali kemuliaan Hafsah di mata Nabi. Jibril berkata, “Dia (Hafsah) adalah seorang ahli puasa dan solat. Dia adalah bidadarimu di syurga.” Atas perintah Jibril, Rasulullah SAW merujuknya kembali. (Rujuk lanjut HR Abu Dawud, no. 2287).

Jiwa Murabbi Hafsah

  1.  Berilmu luas, faqih dan bertakwa.
  2. Ahli puasa dan solat malam.
  3. Berminda kelas tinggi hingga menjadi tempat rujukan hukum, hadis dan ibadah hingga zaman Khulafa’ rasyidin.
  4. Pandai menulis dan membaca pada zaman di mana amat sedikit orang memiliki dua kelebihan ini.
  5. Seorang yang amanah. Diamanahkan oleh Saidina Abu Bakar untuk menjaga lembaran-lembaran al-Quran yang telah berhasil dikumpulkan oleh Zaid bin Tsabit. Hinggalah ke zaman Saidina Ustman.
  6. Sentiasa memuhasabah diri. Berkata Abu Nuaim, “Wanita ahli puasa dan solat. Selalu memandang dirinya tidak bererti dan selalu memuhasabah diri. Hafsah binti Umar bin Khattab, pewaris dan penjaga lembaran-lembaran al-Quran.” (Hilyatul Auliyaa’, vol.2, hlm. 50).
Perginya Hafsah
            Pada tahun 41 Hijriah, beberapa hari berselang dari bulan Syaaban, Hafsah dijemput kembali mengadap Tuhannya. (Shifatus Shafwah, vol.2, hlm. 40).
            Beliau dimakamkan di Baqi’. Saat itu, usianya 63 tahun. Sebelum wafat, beliau sempat mensedekahkan semua hartanya yang masih tersisa. Semoga Allah meredhainya.

Pinangan Lelaki Teragung Ditolak

                                   
Ummu Hani': Menolak Lelaki Teragung Kerana Cemburu dan Prihatin Urusan Anak

Ummu Hani’ adalah wanita Quraisy yang bijak memberi ­pendapat dan berakhlak mulia. Pada zaman jahiliyah, Rasulul­lah pernah meminangnya, tapi ayahnya telah menjanjikannya untuk Hubarah bin Abi Wahbin.
Pada awal perkembangan Islam, Ummu Hani’ turut masuk Islam bersama kaum wanita yang lain. Rasulullah memisahkan Ummu Hani’ dengan suaminya yang masih kafir, sesuai dengan hukum Islam yang berlaku mes­kipun ia sudah dikurniai empat orang anak.
Setelah Ummu Hani’ disahkan menjadi janda dengan empat orang anak, Rasulullah lalu meminangnya untuk kali yang kedua. Ummu Hani’ menjawab atas pinangan itu, “Ya Rasulallah, sungguh dirimu lebih saya cintai daripada pendengaran dan penglihatan saya. Namun, saya seorang wanita yang sangat kuat cemburu. Ya Rasulullah, saya tahu bahawa hak suami sangatlah besar dan harus dijun­jung tinggi. Saya khuatir jika mengurusi seorang suami, lalu saya terpaksa mengabaikan sebahagian hak anak-anak saya. Jika saya mengurusi anak-anak, saya khuatir akan mengabaikan hak suami.”
Rasulullah menghormati pandangannya. Kemudian Rasulullah memberikan pandangan, “Sesungguhnya sebaik-baik wanita yang naik unta adalah wanita Quraisy. Mereka paling sayang kepada anak-anaknya di waktu kecil, dan paling memperhatikan urusan suami.”

Tuesday 22 May 2012

Shafiyyah binti Huyay dipujuk suami



Profil
·         Nama penuhnya ialah Shafiyyah binti Huyay bin Akhtab bin Sa’yah bin Amir bin Ubaid bin Kaab bin al-Khazraj bin Habib bin Nadhir bin al-Kham bin Yakhurn.
·         Daripada keturunan nabi-nabi iaitu keturunan Harun bin Imran bin Qahits bin Lawi bin Israel (Ya’qub) bin Ishaq bin Ibrahim. (Rujuk Siyar A’laam an-Nubalaa’, vol.2, hlm. 231).
·         Ibunya bernama Barrah binti Samaual daripada Yahudi Bani Quraizhah.
·         Shafiyyah dilahirkan sebelas tahun sebelum hijrah, atau dua tahun setelah masa kenabian Muhammad.
·         Pernah bersuamikan Salam bin Abi Al-Haqiq (atau Salam bin Musykam, salah seorang pemimpin Bani Quraizhah namun tidak lama.
·         Bernikah lagi dengan Kinanah bin Rabi' bin Abil Hafiq, salah seorang pemimpin Bani Quraizhah namun suaminya dibunuh oleh orang Islam selepas tertawan dalam perang Khaibar.
·         Ayahnya juga dibunuh dalam perang itu.
·         Shafiyyah ditawan lalu ditawarkan untuk menjadi isteri Nabi maka beliau menerimanya.
·         Hidupnya sering bertemankan air mata di sisi kecemburuan isteri-isteri Nabi.
·         Meninggal tatkala berumur sekitar 50 tahun, ketika masa pemerintahan Mu'awiyah.

Sekuntum Mawar Di Longkang Kedengkian
                Shafiyyah binti Huyay lahir dalam sebuah kaum yang sangat dengki terhadap Islam. Kaumnya tidak dapat menerima kenyataan bahawa Allah SWT telah memilih seseorang daripada bangsa Arab sebagai Rasul akhir zaman.
                Shafiyyah yang suka belajar sejak kecil, mengetahui dengan jelas sifat-sifat Rasul akhir zaman sebagaimana yang diterangkan oleh kitab suci mereka. Beliau ternanti-nanti kedatangannya. Apabila ada berita gembira dari Makkah tersebar ke segenap benua, beliau kabur menilai kebenarannya. Masakan tidak, bapanya sendiri sentiasa mengoborkan kebencian dan kedengkian terhadap Islam.
                Apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, baginda tidak menunjukkan permusuhan kepada bangsa Yahudi. Baginda membuat perjanjian dengan mereka atas nama Piagam Madinah. Ada kelompok Yahudi yang menyukai Rasulullah, ada yang bersikap neutral dan ada yang menentang. Antara kelompok itu ialah Yahudi bani Qainuqa’(diampunkan), bani Nadhir (dihalau) dan bani Quraizhah (dibunuh).

Dalam Diam Mengagumi Muhammad
                Ibnu Ishaq berkata, “Aku mendapat khabar dari Abdullah bin Abu Bakar bin Muhammad bin Amr bin Hazm bahawa Shafiyyah binti Huyay bercerita…”
                Kata Shafiyyah, “Aku adalah anak kesayangan ayahku dan bapa saudaraku, Abu Yasir berbanding anak-anak yang lain. Jika mereka menemuiku, mereka pantas memelukku dan membiarkan anak-anak yang lain.”
                Beliau bercerita lagi tentang ayah dan bapa saudaranya keluar rumah sejak awal pagi untuk menyaksikan sendiri ketibaan Muhammad bin Abdullah di Quba’, di perkampungan bani Amr bin Auf. Apabila matahari terbenam, mereka berdua pulang.
                “Seperti biasa, aku menyambut mereka dengan wajah ceria. Demi Allah, mereka tidak menghiraukan dan wajah mereka sangat gelisah,” kata Shafiyyah.
                Beliau kehairanan tidak mendapat pelukan kasih mereka seperti selalu. Beliau lalu mencuri dengar perbualan mereka,
                “Kamu yakin dialah orangnya?” Bapa saudaranya bertanya.
                “Ya, demi Allah!” kata ayahnya.
                “Kamu mengenal cirri-cirinya dan dapat membuktikannya?” Tanya bapa saudaranya lagi.
                “Ya,” kata ayahnya dengan yakin.
                “Lalu, apa yang patut kita buat?”
                “Demi Allah! Aku akan memusuhinya sepanjang hidupku.” (As-Sirah an-Nabawiyah, Ibnu Hisyam.
                Terkedu Shafiyyah mendengar perbualan itu. Dirinya bingung memikirkan apa yang patut dilakukan. Tersepit antara kecintaan seorang anak dan kerinduan seorang umat kepada Nabinya.
                Beliau pernah bermimpi bulan jatuh ke kamarnya. Tatkala menceritakan mimpi itu kepada suaminya, beliau ditampar hingga lebam.
                “Kamu inginkan Raja Yathrib (Madinah) itu?” tengking suaminya.

Cekal Menghadapi Detik Ayah dan Suaminya Dibunuh
                Permusuhan Bani Quraizah semakin getir. Mereka menyiapkan 1500 pedang, 2000 batang tombak, 300 baju perang dan 500 perisai untuk memerangi kaum muslimin.
                Rasulullah SAW mengepung mereka selama 25 hari. Salah seorang musuh yang paling dkehendaki ialah Huyay bin Akhtab, ayah Shafiyyah. Dia mengkhianati muslimin dalam Perang Ahzab. Akhirnya, pihak musuh menyerah.
                Kaum muslimin menggali parit-parit besar di pasar Madinah, lalu tawanan Yahudi digiring ke tepi parit secara bergantian untuk dipancung. Itulah hukuman yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul.
                Huyay bin Akhtab, bapa Shafiyyah turut ditawan. Dia merobek seluruh bajunya sepanjang satu ruas jari agar tidak dapat dimanfaatkan oleh kaum muslimin di kemudian hari. Tatkala tangannya dilingkar ke leher dan diikat kemas, dia sempat mencemuh Rasulullah SAW,
“Demi Allah! Aku tidak pernah menyesal telah memusuhimu.”
Lalu, pedang menebas lehernya.
Nabi Muhammad segera menyedari ancaman yang akan menimpa kaum muslimin dengan berpindahnya kaum Yahudi ke Khaibar kernudian membentuk pertahanan yang kuat di sana.
Khaibar digempur. Benteng terkuat Yahudi itu hancur. Suami Shafiyyah ditawan dan dibunuh. Shafiyyah juga menjadi tawanan dan menjadi milik seorang sahabat bernama Dihyah. Rasulullah SAW menukarnya dengan tujuh tawanan wanita yang lain. Baginda menutup wajah Shafiyyah yang cantik jelita. Tahulah muslimin, baginda sudah mengambil Shafiyyah sebagai isteri.

Tabah Meskipun Hadirnya Tidak Disenangi
Dari medan Khaibar, tentera muslimin berangkat pulang ke Madinah. Shafiyyah duduk di belakang unta Rasulullah.
Ketika hampir tiba ke Madinah, unta Rasulullah terpeleset lalu baginda jatuh bersama Shafiyyah. Rasulullah SAW segera berdiri dan melindungi Shafiyyah.
Setibanya di Madinah, ramai kaum wanita bersiap sedia menyambut kepulangan mereka. Tatkala mengetahui tentang Shafiyyah, mereka berkata,
“Semoga Allah menjauhi perempuan Yahudi ini.”
Hadirnya seorang puteri Yahudi yang cantik rupawan mengundang kecemburuan para isteri Rasulullah SAW. Apatah lagi pengkhianatan demi pengkhianatan kaum Yahudi menghiris hati semua orang Islam tika itu. Lagipun, Shafiyyah itu muda remaja berusia sekitar 17 tahun.
Rasulullah SAW meraikan kecemburuan mereka sebagai suatu lumrah yang tidak dapat dielak. Baginda lalu menempatkan Shafiyyah di rumah sahabat terdekatnya, Haritsah bin Nu’man al-Anshari, bukan di rumah salah seorang isteri baginda.
Salah seorang isteri Nabi mengejek Shafiyyah,
“Kami adalah  wanita-wanita Quraisy bangsa Arab, sedangkan kamu adalah wanita asing (Yahudi).”
Shafiyyah menangis kesedihan. Beliau cuba memenangi penerimaan wanita muslimah di situ. Bermula dengan Fatimah, beliau menghadiahkansepasang anting-anting emas dan kepada wanita yang sedang bersamanya. (Riwayat Ibnu Saad).
Cemburu Hafsah
Imam Tirmizi merekodkan satu kisah lumrah bagi isteri yang bermadu. Suatu hari, Hafshah menempelak Shafiyyah,
”Hei, anak Yahudi!”
Shafiyah menangis kesedihan.
Suaminya lalu memujuk,
“Sesungguhnya dinda adalah puteri seorang Nabi dan bapa saudaramu adalah seorang Nabi, suamimu ini juga seorang Nabi, lantas dengan alasan apa dia mengejekmu?”
Kemudian Nabi Muhammad SAW mendidik Hafshah,
“Bertakwalah kepada Allah wahai Hafshah!” 

Berkrisis Dengan Zainab
Aisyah menceritakan lagi karenah kecemburuan mereka terhadap Shafiyyah. Suatu ketika, Rasulullah SAW dalam satu perjalanan. Tiba-tiba unta Shafiyyah sakit, sementara unta Zainab ada lebih seekor.
Rasulullah berkata kepada Zainab,
“Unta tunggangan Shafiyyah sakit, mahukah dinda memberikan salah satu dari untamu?”
 Zainab menjawab,
“Dinda tidak mahu memberinya kepada perempuan Yahudimu itu.”
Rasulullah SAW terkilan. Sebagai didikan, baginda meninggalkan Zainab pada bulan Dzulhijjah dan Muharam bahkan Safar juga. Baginda tidak mendatangi Zainab selama tiga bulan.
Zainab berkata, “Sehinggakan aku berputus asa dan tidak berharap lagi.”
Ketika Rasulullah SAW masuk semula ke kamarnya pada bulan Rabiul Awwal, Zainab menebus kesalahannya dengan memberikan seorang hamba wanita yang tidak pernah diketahui oleh Rasulullah SAW.

Cemuhan Aisyah dan Hafsah
Aisyah bercerita lagi,
“Suatu hari, saya melihat bayangan Rasulullah datang. Ketika itu Shafiyyah mendengar cemuhan Hafshah dan Aisyah tentang dirinya dan mengungkit-ungkit asal-usul dirinya. Betapa sedih perasannya. Lalu dia mengadu kepada Rasulullah sambil menangis. Rasulullah menghiburnya, ‘Mengapa tidak engkau katakan, bagaimana kalian berdua lebih baik dariku, suamiku Muhammad, ayahku Harun, dan bapa saudaraku Musa.”
Apabila Shafiyyah mendengar lagi ejekan dari isteri-isteri Nabi yang lain, dia rasa terbela dengan pujukan suami. Maka diapun menjawab balas,
“Bagaimana kalian merasa lebih baik dariku, padahal suamiku adalah Muhammad, ayahku adalah (keturunan) Harun dan bapa saudaraku adalah Musa?”

Iktibar Daripada Suami Sesempurna Nabi
Mujurlah Rasulullah SAW bernikah ramai dalam 10 tahun terakhir daripada baki usianya. Baginda menunjukkan contoh kepada semua lelaki yang berpoligami agar berlaku lembut dalam menghadapi kecemburuan para isteri.  Tiada pukulan. Tiada kekasaran. Tiada ancaman keras. Yang ada hanyalah kelembutan komunikasi berkesan dan didikan dengan penuh kesabaran.
Berkat pernikahan Nabi, wanita-wanita hari ini yang dimadukan pula akan rasa terbela andai mereka tidak mampu mengawal karenah mereka lantaran cemburu. Wanita hari ini tidaklah sebaik para isteri Nabi. Kecemburuan mereka mungkin lebih dahsyat. Maka, suami yang tertekan dan berserabut dengan karenah para isteri tidak boleh sesuka hati menuduh mereka jahat, nusyuz (derhaka) dan diancam keras. Itu fitrah cinta yang perlu dididik agar tidak bertukar menjadi fitnah.
Bagi wanita yang tidak sanggup diazab hidup cemburu kerana takut agama mereka rosakpula, Islam meraikan pilihan mereka untuk mengenakan syarat ta’liq ketika akad nikah agar tidak dimadukan. (Rujuk lanjut buku Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kami Idamkan, karya Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi). Syarat ta’liq ini terpakai oleh jumhur ulama’ sejak zaman sahabat lagi. Itulah yang dicontohkan kepada kita oleh puteri-puteri Rasulullah SAW.
Bagi suami yang mahu terlepas daripada kesulitan hidup di dunia dan akhirat pula, lebih baik tidak bernikah ramai spertimana kata Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya di atas. Demikian juga pendapat jumhur ulama. Maha bijak Allah SWT yang menurunkan peraturan yang meraikan kondisi individu yang berbeza-beza serta meraikan hak dan maslahah semua pihak.

Dikasihi Suaminya
                Ketika Nabi SAW sedang beri’tikaf, Shafiyyah menemui baginda di malam hari. Beliau berbincang sejenak dengan baginda. Kemudian, Rasulullah berdiri untuk menghantar Shafiyyah kembali ke rumah.
                Tiba-tiba, dua orang Anshar lalu di situ. Ketika melihat Nabi, mereka nampak aneh. Nabi takut mereka tersalah sangka.
                “Tunggu sebentar, dia ini adalah Shafiyyah binti Huyay.” Rasulullah berkata lagi,
                “Sesungguhnya syaitan mengikuti manusia seperti aliran darah. Aku takut dia telah meletakkan satu kejahatan dalam hatimu.” (HR Muslim).

Tetap Mencintai Suami Meskipun Dicemburui
Salah satu bukti cinta Shafiyyah kepada Muhammad terdapat pada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Saad dalarn Thabaqatnya. Isteri-isteri Nabi berkumpul menjelang kewafatan baginda.
Shafiyyah berkata,
“Demi Allah, ya Nabi, dinda ingin apa yang kanda deritai ini menjadi derita dinda.”
Isteri-isteri Rasulullah memberi isyarat antara satu sama lain lantaran cemburu. Menjuih.
Melihat hal yang demikian, baginda berkata, “Berkumurlah!”
Dengan terkejut mereka bertanya,
“Dari apa?”
Baginda menjawab,
“Dari isyarat mulut (atau mata) kalian terhadapnya. Demi Allah, dia adalah benar.”
Shafiyyah rasa terbela.

Difitnah Hamba, Dibalas Kebaikan
Setelah Muhammad wafat, Shafiyyah merasa sangat terasing di tengah kaum muslimin kerana mereka selalu menganggapnya berasal dan Yahudi, tetapi dia tetap komitmen terhadap Islam dan mendukung perjuangan Muhammad.
Pernah suatu ketika hambanya mengadu kepada Saidina Umar bahawa Shafiyyah sukakan hari Sabtu dan berhubung baik dengan Yahudi. Umar lalu meminta keterangannya.
Beliau menjawab, “Aku tidak mencintai hari Sabtu lagi setelah Allah menggantikan dengan hari Jumaat. Berkenaan Yahudi, aku masih memiliki kerabat di kalangan mereka.”
Shafiyyah bertanya kepada hambanya,
“Kenapa kamu lakukan semua ini?”
“Godaan syaitan,” jawabnya. Shafiyyah lalu membebaskannya. Membalas kedengkian dengan kebaikan. Subhanallah!

Kemuliaan Hati Shafiyyah
Ketika terjadi fitnah besar atas kematian Utsman bin Affan, beliau berada di barisan Utsman. Beliau sering membentangkan kayu antara rumahnya dan rumah Uthman untuk menyalurkan makanan dan minuman. (Rujuk al-Ishaabah).
Ibnu Katsir berkata, “Shafiyyah adalah seorang wanita yang sangat menonjol dalam ibadah, kewarakan, kezuhudan, kebaikan dan sedekah.”
 Selain itu, beliau banyak meriwayatkan hadis Nabi. Beliau wafat pada masa kekhalifahan Mu’awiyah bin Abi Sufyan. Marwan bin Hakam mensolatinya, kemudian menguburkannya di Baqi’.

Bila rindu, bagaimana menguruskannya?



Contoh situasi:

“Awak padan betul dengan lelaki tu. Diapun macam sukakan awak,”

“Astargfirullah!Bantulah saya jaga hati. Boleh kita cakap soal studi?

“Kenapa bila saya sebut namanya, awak istighfar? Awak mesti anggap ini zina hati. Awak mesti anggap ini berdosa. Awak mendosakan diri dengan apa yang bukan dosa?”

“Saya yang anggap atau awak yang anggap? Sering kali kita dianggap dengan apa yang tidak kita maksudkan.”

“Tapi, betul tak awak anggap ia zina hati?”

“Hati kita perlu dijaga bukan sahaja daripada zina hati bahkan daripada perkara yang menghampirinya.”

“Hatipun ada dosa?”

“Jika awak tanya dari sudut feqah, feqah tidak cover soal hati. Feqah soal amalan zahir yang nampak sahaja. Tapi jika awak tanya dari sudut akhlak, tasauf dan tauhid, ia sangat erat dengan soal hati.” 

“Hah? Patutlah ada orang titik beratkan soal amalan luaran sahaja, bukan soal hati.”

“Perlaksanaan hukum feqah yang ideal sepatutnya tidak terpisah daripada tasauf dan tauhid. Mengambil kira akidah, akhlak dan syariah.”

“Apa dosa hati?”

“Banyak penyakit seperti ghaflah (lalai), ujub, riyak, takbur dan lain-lain yang senang singgah pada hati. Hati kita ibarat raja. Jika baik raja, baiklah rakyatnya berupa tangan, kaki, telinga dan mata. Para sahabat seperti Hanzalah sensitif menjaga hati hingga menganggap diri munafik walhal tidak. Kita pula bagaimana?”

“Awak tu, sikit-sikit istighfar.”

Istighfar saya terlalu sedikit jika nak dibandingkan dengan istighfar Rasulullah. Padahal, baginda ma’sum dan saya  tidak ma’sum.”

"Istighfar istighfar ni, macam haram dan berdosa je benda tu,"

"Istighfar bukan saja untuk menghapus dosa. Ia zikrullah. Tanda tunduknya hati, jiwa dan fikiran kepada Allah.Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam: “Alangkah beruntungnya sesiapa yang mendapati di dalam lembarannya (amalannya), bahawa amal istighfar (nya) begitu banyak.” (Hadis riwayat Ibnu Majah). Banyak lagi fadilat istighfar dalam al-Quran dan hadis."

“Bila saya gurau-gurau gosip awak, saya sudah lalaikan awak? Apa hukumnya?”

“Ini bukan soal hukum feqah. Ini soal menjaga hubungan kita dengan Allah. Kena banyak cakap hal berfaedah. Kena sebut-sebut tentang Allah. Kena lazimi zikir dan fikir.”

“Bila saya sebut pasal dia, awak jadi teringat-ingat? Jika teringat itupun sudah termasuk zina hati?”

“Saya tidak cakap soal situasi mana termasuk dalam bab zina hati dan situasi mana yang tidak. Itu tidak membina amal. Saya cakap soal bagaimana kita nak uruskan hati apabila diuji fitrah rindu kepada bukan mahram.”

“Menguruskan fitrah?”

“Ya, fitrah itu sekelip mata boleh bertukar menjadi fitnah. Fitrah rindu boleh bertukar menjadi fitnah sobwah (rindu yang cenderung kepada kebodohan). Sebab itu rindu itu elok diuruskan dengan zikrullah”

“Kalau betulpun hati awak sedang terfitnah, alah dosa kecil sahaja.”

“Ia bukan soal dosa kecil atau dosa besar. Ia soal dengan siapa kita berdosa,” 

“Apa bezanya?” 

“Dari sudut impak, apa terjadi jika kita tarik rambut adik kita dengan anggap ia cuma dosa kecil?” saya membuat analogi.

“Biasa sahaja. Dia nangis. Ibupun marah kita,” 

“Apa pula yang terjadi jika kita tarik rambut sultan dengan anggap ia dosa kecil?” 

“Sultan mesti murka. Kita kena gantung universiti. Ditarik biasiswa. Dituduh tidak beradab dan banyak lagi,”.

“Jangan main-main dengan dosa kecil,”

“Apa nak risau? Dosa kecilkan terhapus dengan wudhuk,” katanya.

“Rasulullah SAW tidak mengajar kita meremehkan dosa kecil. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Baginda yang ma’sum banyak beristighfar. Lagipun, adakah wudhuk kita cukup diterima di sisi Allah? Solat kitapun, jika tidak lengkap rukun fi’li, qauli dan qalbi (perbuatan, kata-kata dan hati) belum tentu menghalang daripada perbuatan keji dan mungkar.”

"Hmm, rukun qalbi sering kita lupakan sedangkan amalan sebesar gunung boleh menjadi debu-debu berterbangan tanpa lurusnya hati."

 “Jadi, persoalannya sekarang, bukan membesar-besarkan mana bab zina hati dan mana bukan. Tetapi, bertanya diri, bagaimana menjadikan rindu yang fitrah ini kekal sihat? Dengan terus melayan ingatan? Atau menyegarkan hati dengan zikrullah? Salahkah saya melazimi istighfar?” saya lontarkan lagi persoalan.

“Dalam bab couple, awak selalu berpesan supaya jaga hati. Bukankah ia fitrah. Besar sangatkah bab hati ini?”

“Ya, sudah tentu. Sebesar membaikkan seorang raja agar rakyatnya menjadi baik. Hati tempat jatuhnya pandangan Allah.”

“Rasululullah SAW dulu sibuk bab politik dan negara, bukan bab remeh-temeh soal hati ini.”

“Islam itu syumul, merangkumi semua. Rasulullah SAW dulu berjaya mengubah masyarakat jahiliah kerana berjaya mengubah hati. Rasulullah SAW tidak terus mengubah ‘akibat penyakit’ seperti kegawatan ekonomi yang dimonopoli Yahudi, perang saudara, minum arak, bunuh anak perempuan dan sebagainya. Tapi baginda bermula dengan ‘punca penyakit’ iaitu masalah hati. 13 tahun baginda fokus membina hubungan hati manusia dengan Allah. Menekankan akidah.“

“Kalau begitu, masalah couple yang banyak berlaku sebenarnya suatu ‘akibat penyakit’? Ia berpunca daripada ‘punca penyakit’ iaitu masalah hati?”

“Jika awak memahami begitu, barulah awak akan memahami kenapa saya selalu berpesan jagalah hati. Bukan terus-terusan menganggap saya asyik menghukum diri dengan zina hati. Firman Allah yang bermaksud: “(Hari kiamat ialah) hari yang mana tidak berguna harta dan sekalian anak pinak kecuali orang yang membawa hati yang sejahtera. (Surah al-Syu’ara 26: 88-89)”

 "Saya takut awak memayah-mayahkan Islam. Tidak ambil yang pertengahan."

"Awak berniat baik. Marilah kita saling membela mana yang benar dan saling melengkap mana yang kurang. Bukan saling menjatuhkan. Saya yakin awak tidak begitu. Awak pernah belek apa kata ketua ulama sedunia, global mufti berkenaan hukum bercinta sebelum menikah? Beliau terkenal mempromosikan fikrah pertengahan kepada dunia. Apa yang kita anggap memayah-mayahkan kadang kala itulah fikrah sebenar fikrah pertengahan."


Temui Apa kata Prof. syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi tentang Bercinta Sebelum Menikah dalam majalah SOLUSI.
[1] Sabda Rasulullah SAW, “Di dalam diri manusia ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah manusia tersebut. Sebaliknya, jika jahat daging itu, maka jahat pulalah orang tersebut. Daging itu ialah jantung (hati).” (HR Bukhari dan Muslim).
(3) Maksudnya: “Sesungguhnya tertutup hatiku, dan sesungguhnya aku memohon ampun kepada Allah setiap hari sebanyak seratus kali.” (Hadis riwayat Muslim)
[4]“Allah merasa kagum kepada pemuda yang tiada padanya (sobwah), rindu yang cenderung kepada kebodohan.” (HR Ahmad).
[5] “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras kamu dan harta kamu tetapi melihat kepada hati-hati kamu dan amalan-amalan kamu.” (HR Muslim).