Thursday 24 February 2011

Masalah dan Hukum pemakaian warna pada rambut (HENNA/INAI & DYE)

SOALAN:
Pada masa ini telah banyak dijual jenis pewarna rambut yang bertanda halal. Akibat daripada tanda halal tersebut ada di kalangan orang Islam termasuk pelajar telah menggunakan bahan pewarna tersebut dengan tiada keraguan.

(i) Setakat manakah kehalalan pemakaian bahan pewarna tersebut?

(ii) Apakah ianya tidak menghalang sampainya air ketika mengangkat hadas?



Jawapan:


Perkataan halal pada kebiasaannya adalah digunakan untuk barang makanan termasuklah sumber pendapatan sebagaimana yang biasa disebut iaitu rezeki yang halal. Adapun barang gunaan umpamanya pewarna rambut, minyak rambut dan barang-barang kosmetik, penggunaan perkataan halal itu tidak tepat. Jika tujuan penamaan label HALAL itu adalah untuk membolehkan orang Islam memakai atau menggunakannya, perkataan yang tepat ialah suci bererti tidak najis kerana kita dilarang menggunakan atau memakai barang-barang yang najis. Inilah pemakaian atau penggunaan yang patut diketahui oleh orang-orang Islam.

Rambut merupakan bahagian yang wajib dibasuh ketika mandi junub atau mengangkat hadas kecil (wudhu). Ini bererti air yang bersih mesti sampai ke semua bahagian rambut termasuklah kulit kepala ketika mandi junub itu atau sebahagiannya ketika berwudhu. Jika ada sesuatu yang menghalang air untuk sampai membasahi rambut, maka tidaklah sah mandi hadas besar dan wudhu berkenaan. Sehubungan dengan itu ibadat-ibadat yang dilakukan seperti sembahyang menjadi tidak sah kerana hadas atau wudhunya itu tidak terangkat.


Dari itu sekiranya pewarna rambut itu sifatnya melekat atau melapis rambut, sekalipun ianya suci maka ia sudah pasti menghalang air untuk sampai ke rambut. Jika ini terjadi, maka mandi junub umpamanya dalam keadaan rambut diwarnakan dengan bahan tersebut adalah tidak sah dan ini akan menyebabkan ibadahnya seperti sembahyang tidak sah kerana hadasnya tidak terangkat.


Berbeza halnya, jika pewarna rambut itu tidak melekat di atas rambut seperti sifatnya meresap sepertimana meresapnya inai (pacar) pada jari dan kuku. Ini tidak menghalang air daripada sampai ke bahagian yang wajib dibasuh.


Pada suatu masa dahulu pernah ditanya kepada Jabatan ini tentang pewarna rambut (dye) yang sifatnya menghalang air sampai ke rambut. Tentulah pewarna (dye) itu tidak boleh dipakai sekalipun ia suci atau menurut istilah setengah negara sebagai HALAL.


Selain daripada memerhatikan kepada aspek atau jenis pewarna yang digunakan untuk mewarnakan rambut itu sebagaimana yang telah dibincangkan di atas serta kesan pemakaiannya yang boleh menyebabkan tidak sah ibadat yang dilakukan sekiranya ibadat tersebut disyaratkan melakukannya dalam keadaan thahârah, adalah penting untuk kita menilai sejauh manakah pandangan syara‘ tentang hukum mewarnakan rambut ini.


Mewarna rambut itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya dengan alasan bahawa pewarna yang digunakan itu adalah halal ataupun suci.


Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:



Maksudnya: “Bahawasanya orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarnakan (uban mereka) maka hendaklah kamu tidak menyerupai mereka.”

(Hadis riwayat Muslim)

Ini diperkuatkan lagi dengan peristiwa ketika Abu Quhafah (ayah kepada Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu) dibawa ke hadapan Baginda pada hari pembukaan Makkah yang mana ketika itu rambut dan janggutnya dipenuhi dengan uban, maka Baginda bersabda:



Maksudnya: “Tukarkan (warna uban) ini dengan sesuatu dan jauhilah daripada (menggunakan) pewarna hitam.”

(Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas para ulama berpendapat bahawa mewarnakan uban yang tumbuh pada rambut kepala adalah sunat sama ada lelaki atau perempuan. Warna yang disunatkan untuk digunakan pula ialah kuning atau merah kecuali warna hitam, kerana haram menggunakan pewarna hitam menurut pendapat al-ashah. Walau bagaimanapun harus mewarnakan uban itu dengan pewarna hitam sekiranya bertujuan untuk menakutkan pihak musuh ketika berjihad.


Sebagaimana yang dijelaskan oleh hadis di atas bahawa tujuan mewarnakan uban itu adalah untuk membezakan kebiasaan kaum Yahudi dan Nasrani yang mana mereka itu meninggalkan perbuatan mewarnakan uban.


Sementara itu pula rambut yang tidak beruban adalah sayugia ianya dikekalkan atau dibiarkan sepertimana aslinya. Ia tidak perlu diwarnakan kecuali jika ada sesuatu yang memerlukan ia diwarnakan umpamanya untuk tujuan perubatan.


Akan tetapi jika perbuatan mewarnakan itu dengan bentuk atau gaya sepertimana fesyen dan penampilan orang-orang kafir yang tidak sesuai dengan akhlak Islam sebagaimana yang kita saksikan menjadi ikutan oleh anak-anak Islam, maka perbuatan itu adalah haram sekalipun pewarna yang dipakai itu suci. Dengan melakukan perbuatan itu bererti mengikut budaya orang bukan Islam. Ini adalah perkara yang dilarang oleh hukum syara‘ kerana larangan menyerupai mereka disebut oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam dengan sabda Baginda:



Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah daripada golongan mereka.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Menyerupai mereka dari sudut penampilan zahiriah sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu al-Qaiyim al-Jawziyyah merupakan satu jalan ke arah menyerupai mereka dari segi maksud dan perbuatan. Ia juga sebenarnya timbul atas dasar suka dan menganggap ianya adalah satu perkara yang baik. Apabila seseorang itu menganggapnya satu kebaikan maka cenderunglah dirinya untuk melakukannya. Apabila dia sudah melakukannya buat pertama kali nescaya akan diulanginya untuk kali kedua dan seterusnya sehingga menjadi adat atau kebiasaan kepada dirinya. Dengan itu akan lenyaplah nilai-nilai Islam di dalam dirinya itu.


Dari itu perbuatan menyerupai orang-orang kafir itu adalah sangat ditegah sekalipun tanpa tujuan meniru perbuatan mereka itu, demi menjaga iman dan aqidah umat Islam daripada terjebak ke arah perkara yang membawa kufur. Wal‘iyâdzubillah.


Selain daripada itu mewarna rambut khususnya bagi wanita sudah tentu akan membawa kepada pendedahan aurat, kerana tujuan mewarnakan itu sendiri adalah untuk ditonton dan disaksikan. Jika yang menyaksikan itu mahramnya, maka tidaklah haram, tetapi jika bukan, yakni lelaki ajnabiy (asing), maka perbuatan mendedahkan aurat di hadapan orang bukan mahram itu hukumnya adalah haram.


Berbalik kepada tanda atau logo halal pada barang gunaan, ia bukanlah suatu jaminan bahawa benda itu boleh dipakai, kerana penipuan boleh saja berlaku, bahkan telah pun banyak berlaku, di mana pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan label halal semata-mata untuk mendapatkan kepercayaan pengguna.


Jika sifat pewarna rambut itu menghalang air sampai ke rambut, maka ia tidak boleh dipakai sekalipun ia suci. Walaupun ada tertera label halal atau suci, namun apa yang lebih selamat ialah meninggalkannya demi menyelamatkan diri daripada syubhah. Lagipun tidak jelas dari segi keperluan memakainya.


Menjauhi perkara syubhah atau samar-samar itu merupakan tuntutan syara‘. Dengan menjauhinya akan terpeliharalah agama.


Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam:



Maksudnya: “Tinggalkanlah barang yang meragukan engkau kepada apa yang tidak meragukan engkau.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasa’i)

Sabda Baginda lagi:



Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas (terang) dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia, maka sesiapa memelihara (dirinya daripada) segala yang kesamaran, sesungguhnya dia telah memelihara agama dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara kesamaran, jatuhlah dia ke dalam yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkanNya. Ketahuilah, bahawa di dalam badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan, dan apabila ia rosak, rosaklah semuanya, ketahuilah, itulah dia hati.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berpandukan : Fatwa Mufti Kerajaan Brunei Tahun 2001 

No comments:

Post a Comment