Sunday 12 December 2010

REDHA ALLAH bergantung pada REDHA KEDUA IBUBAPA


Ibubapa adalah insan yang sangat penting bagi seorang yang bergelar anak. Pengorbanan mereka tidak dapat diganti dengan wang ringgit yang berjuta. Justeru itulah kenapa anak-anak wajib berbakti kepada mereka. Bahkan mengingkarinya dikategorikan sebagai anak yang derhaka.
Hadith :Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: " Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa."Riwayat al-Hakim
Ini bermakna, tanggungjawab kita terhadap dua ibubapa mendahului urusan yang lain. Berbakti kepada ibu bapa sama nilainya dengan pahala jihad. Sahabat Nabi SAW, Abdullah bin Amru bin 'Ash berkata: "Pada suatu hari seorang lelaki menghadap Rasulullah SAW, memohon izin untuk ikut berjihad bersama Baginda. Lantas Rasulullah SAW bertanya kepada lelaki itu: "Adakah orang tuamu masih hidup?" Jawabnya: "Ya, mereka masih hidup." Rasulullah SAW bersabda: "Dalam diri orang tuamu itulah terdapat nilai jihad." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Walaubagaimanapun, ibu diberi kelebihan dari bapa untuk ditaati, memandangkan pengorbanannya yang cukup besar sewaktu mengandung, melahir dan mendidik anak-anak dalam penuh kesusahan dan kepayahan. Bahkan kasih-sayang yang mendalam dari seorang ibu sanggup berbuat apa sahaja demi anaknya.
Perkara ini berasaskan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang mafhumnya: Ada seorang lelaki datang bertemu Rasulullah s.a.w., lalu bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati?Baginda menjawab: Ibumu. Lelaki itu kembali bertanya : Kemudian siapa? Nabi menjawab: Ibumu. Lelaki itu terus bertanya : Kemudian siapa? Nabi menjawab lagi : Ibumu. Sekali lagi lelaki itu bertanya: Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab pula: Kemudian bapamu.

Begitulah kedudukan seorang ibu pada pandangan Rasulullah. Betapa mulianya seorang ibu hinggakan Rasulullah s.a.w. meletakkannya sebagai pihak yang perlu dihormati selepas Allah dan Baginda.
Seorang lelaki di zaman Rasulullah mendukung ibunya ketika tawaf, namun kata Rasulullah beliau masih belum lagi menunaikan hak ibunya. Betapa besar jasa ibu bapa yang tidak mungkin dibalas oleh seorang anak.
Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud berbunyi: "Seorang anak itu belum dapat lagi membalas jasa orang tuanya sehingga dia mendapatinya sebagai hamba. Lalu dibelinya dan dimerdekakannya."
Perlu kita ketahui adap-adap yang patut diajarkan kepada anak-anak agar di laksanakan oleh anak-anak terhadap orang tuanya. Diantaranya ialah
  1. Sentiasa mentaati dan mematuhi perintah ibubapa melainkan yang maksiat
  2. bercakap lembut dan sopan terhadap mereka
  3. bangun menghormati mereka apabila mereka pulang
  4. cium tangan mereka pagi dan petang
  5. menjaga maruah dan harta ibubapa
  6. memenuhi permintaan mereka dan apa yang diminta oleh mereka
  7. meminta pandangan mereka dalam urusan kita
  8. memohon keampunan untuk mereka dari Allah
  9. membantu mereka dengan rela hati tanpa disuruh
  10. tidak mengangkat atau meninggikan suara pada mereka
  11. tidak menyampuk apabila mereka sedang berkata-kata
  12. memaklumkan kepada mereka dan minta izin sebelum keluar
  13. tidak menganggu mereka bila mereka tidur
  14. tidak melebihkan isteri dan anak-anak dari mereka
  15. tidak menghina mereka bila mereka melakukan kesalahan dan perkara yang kita tidak suka
  16. tidak mengambil makanan yang berada didepan mereka
  17. tidak melunjur kaki kepada mereka
  18. segera menjawab panggilan mereka
  19. menghormati kawan-kawan dan sahabat-sahabat mereka waktu mereka hidup atau sudah mati.
  20. tidak memanggil mereka dengan nama mereka
  21. tidak memanjat tempat yang tinggi dari kepala mereka
  22. sering mendoakan mereka lebih-lebih selepas kematian mereka.
Beginilah sifat anak soleh yang patut ada pada diri kita. Sayangi lah kedua orang tua kita, jangan sampai ada di antara kita yang menjadi anak yang derhaka. Raikan kebaikan mereka dengan amalan yang mulia. Bukan setakat kita menyambut hari ibu atau hari bapa sahaja. tanpa menunaikan hak-hak yang seadanya. Moga tiada lagi anak-anak yang terfikir untuk menghantar ibu-ibu mereka di tempat-tempat kebajikan atau rumah-rumah orang tua. Kasihanilah ibu dan bapa kita.

No comments:

Post a Comment