Friday 21 January 2011

Cahaya Baru


Adakalanya musibah datang bertimpa-timpa. Ketika kita dipuncak kerunsingan dan kegelisahan tiba-tiba datang musibah baru yang lebih berat dan diluar dugaan kita.

Dunia terasa kelam dan diri kita terasa begitu kerdil. Kita merasa diri ini terlalu lemah untuk berdepan dengan arus kehidupan yang deras dan mencabar. Kita mula mencari tempat untuk berpaut, apa saja yang kita yakin dapat memberi ketenangan dan kekuatan pada diri kita. Kita beberapa kali terhempas kerana tersalah dalam memilih tempat untuk berpaut. Kita jatuh lagi dan terus hanyut dibawa arus kehidupan yang deras dan ganas.

Ketika kelemahan kita sampai kepuncaknya, kita terasa diri kita hilang buat seketika. Jiwa kita terlalu lemah dan silau untuk melihat dunia. Kita putus asa dengan kehidupan. Kita teraba-raba mencari diri hingga akhirnya kita temui bahawa memang kita ini bukan apa-apa. Kita ini memang terlalu lemah dan kerdil, kita kini sedar bahawa kita sudah terlalu lama lupa diri. Kita terlupa bahawa memang kita ini terlalu kerdil, lemah dan hina.




Kita mendongak ke langit, meneliti alam yang begitu rapi dan tersusun dan kita melihat pada diri kita. Kita bertambah yakin bahawa kita ini bukan apa-apa, kita ini lemah, kita ini terlalu kerdil tetapi kita telah lupakan itu semua…….kita telah lupa diri kita siapa. Kita mula mengangkat tangan, kita tadahkan kedua tangan kita dengan penuh kerendahan dan kepasrahan. Kita menangisi kelalaian kita, kita mula insaf segala kesalahan dan dosa kita. Air mata mula mengalir membasahi wajah kita dan membersihkan segala kekotoran pada hati kita; dendam, kebencian, keraguan, kemarahan, keangkuhan dan kesedihan mengalir lalu bersama titisan air mata kita.

Kita terlena dalam munajat dan keinsafan kita hinggalah datang fajar baru dengan harapan baru. Kita bangun sebagai manusia baru; tiada lagi keangkuhan, dendam dan benci, tiada lagi kemarahan dan kesedihan. Kita melihat ke ufuk, kita melihat fajar baru menyerakkan cahaya baru, kita menoleh bumi sekelilingnya, yang kita lihat ialah kehidupan baru dengan jiwa yang baru. Dan kini kita bertambah yakin bahawa yang menghidupkan ialah Allah SWT, yang memberi kelapangan ialah Allah. Allahlah sumber kehidupan, sumber ketenangan dan kebahagiaan.

No comments:

Post a Comment