Saturday 1 January 2011

Hukum Muzik dlm Islam

Pengenalan :
Muzik berasal dari perkataan Yunani yang digunakan bagi menunjukkan seni atau kemahiran bermain alat hiburan. Ilmu muzik pula merupakan ilmu yang berkaitan dengan asas-asas irama. Sementara ahli muzik ialah orang yang mahir berkenaan dengan muzik.
Dari segi istilah, muzik ialah ilmu yang membahaskan tentang selok belok nada dan irama, cara-cara menggubah lagu, penciptaan alatan muzik dan bunyi yang terhasil dari alat-alat muzik.
Masalah Cabang :
Mendengar muzik hukumnya adalah berbeza – beza di kalangan ulama. Ia merupakan masalah cabang bukannya masalah asas. Oleh itu tidak sepatutnya seorang muslim itu menuduh seorang muslim yang lain sebagai fasik hanya kerana mendengar muzik. Juga tidak boleh baginya mengatakan pendapatnya sahaja yang betul tanpa menghormati pendapat orang lain dalam masalah ini. Lainlah jika masalah yang dibincangkan merupakan masalah asas seperti solat. Solat lima waktu memang disepakati oleh semua orang islam bahawa hukumnya wajib. Lalu jika ada orang yang mengatakan sebaliknya, layaklah disanggah kata-kata tersebut. Tetapi dalam masalah mendengar muzik ini, ada ulama yang mengatakan boleh dan ada juga ulama yang mengatakan tidak boleh. Dengan demikian janganlah dengan masalah yang sekecil itu membawa kepada perpecahan di kalangan imat islam. Tiada dalil yang jelas mengatakan bahawa muzik itu haram. Jika ada sudah tentu tidak berlaku perselisihan di kalangan ulama.
Pendapat para ulama
Imam Al-Ghazali menyatakan :”…Hiburan itu ‘ubat’ kepada hati yang menyembuhkan ‘penyakit’ letih, lalu berpatutanlah ianya dihalalkan tetapi janganlah berlebihan sepertimana halnya ubat yang tidak boleh diambil berlebihan…”
Katanya lagi :”Jika alatan muzik yang digunakan adalah alat yang melambangkan ahli maksiat iaitu seruling, gitar (dan seumpamanya) dan alat gendang dari kaca seperti drum maka ianya adalah diharamkan….”
Qadhi Iadh mengatakan bahawa muzik hanya halal kepada ahli ilham iaitu orang yang pandai memanipulasikan muzik itu untuk mendapat ilham. Adapun bagi orang lain, hukumnya adalah haram.
Ibnu Hazmin : Sesiapa yang mendengar muzik dengan tujuan menyumbangkan perkara maksiat, maka dia adalah seorang yang fasik. Dan sesiapa yang mendengarnya dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T, maka ianya dibolehkan.
Antara ulama lain yang membahaskan dan mengatakan muzik itu harus ialah : Izz bin Abdussalam, Al-Qurtubi dan As-Syaukani.
Kesimpulan :
Hukum mendengar muzik telah menjadi pertikaian ulama sejak zaman awal islam lagi. Mereka bersatu pendapat dalam beberapa perkara tetapi pada masa yang sama berselisih pendapat dalan beberapa perkara yang lain.
Mereka bersepakat mengatakan bahawa setiap nyanyian yang mengandungi unsur maksiat, hukumnya haram.
Dan mereka juga sependapat tentang halalnya nyanyian tradisi yang tidak menggunakan alatan muzik yang dinyayikan di tempat-tempat yang dibenarkan syarak seperti di majlis perkahwinan, menyambut kepulangan orang hilang, hari-hari perayaan dan seumpamanya dengan syarat penyanyi bukanlah seorang wanita. Penyanyi wanita hanya dibenarkan dikhalayak wanita sahaja.
Tatapi dalam masalah penggunaan alatan muzik, mereka berselisih pendapat. Ada yang mengatakan boleh dan ada yang mengatakan tidak boleh.
Apa pun dapatlah disimpulkan bahawa nyanyian yang disertakan dengan alatan muzik atau tidak, hukumnya adalah halal dan dibolehkan dengan syarat tidak menjurus kea rah maksiat. Walaupun begitu, jika asyik dengan muzik sepanjang masa, akan menjadikan muzik itu makruh pula dan boleh jadi juga haram.

No comments:

Post a Comment